Blog Widget by LinkWithin
Apa dia pembaca?

Aku rasa konsep cinta dalam Ayat-ayat cinta dari Habiburrahman sangat molek untuk dijadikan contoh muda-mudi sekarang. Aku anjurkan pada kawan-kawan yang sedang bertunang, Yanti, , dan Hayat

aku: Yat, suruhlah abok (tunang hayat) baca buku ni, bagus sangat!
Hayat: Iye ke? nak suruh dia baca yang mana?
aku: ??
Hayat: Bahagian mana?
aku: Semualah sekali
Hayat: Tapi dia bukan pembaca..
aku: ??? Hmm.. kalau tak, tak dapatla isinya.

Sungguh, aku memang kecewa. Tapi rasa kecewa seperti ini memang biasa aku rasa.

Membaca bukannya satu hobi lagi, membaca ialah keperluan seperti kita makan bila kita lapar. Knowledge is Power!. Seperti mana talifon bimbit dan kereta yang telah menjadi keperluan. Dan Ayat-ayat cinta bukan novel cereka. Ayat-ayat cinta ialah buku agama yang diolah dengan kreatif dan sangat menarik hati. Hasilnya ilmu dapat disampaikan dengan penuh hikmah.

Ayat-ayat cinta dalam novel tersebut bukan ayat-ayat cinta Fahri kepada Aiysa atau Maria atau Nurul mahupun Noura. Bukan. Maksud Habiburrahman dengan ayat-ayat cinta ialah ayat-ayat berkait cinta yang diwahyukan oleh Pencinta Agung kepada kita dalam buku yang paling banyak pembaca dan penghafalnya menurut Maria.

Postmortem Ramadhan: Yang utama, yang remeh

Z tak puasa, alasannya mudah, tak bangun sahur. Kak Devi bising. Dia tak puas hati. Aku tak heran Z tak puasa. Hmm.. sekilas ikan di air aku tahu jantan ke pondan.

Aku letih, sebab aku puasa tanpa bersahur. Muka aku agak pucat hari tu. Sebelum balik, Kak T pesan, esok jgn lupa bangun sahur, sayang berkat sahur terlepas begitu saja. Aku senyum. Sebenarnya nak menjawab tapi betul aku letih sangat hari itu.

Ramai orang lain yang puasa bersungguh-sungguh tapi Zuhur nya qada' entah bila. Sebabnya tak pasti. Oh.. bukan sebab, sebenarnya alasan. Mungkin alasan leceh. Alasan bnyk kerja. Alasan sayang nak buang mekap. Alasan boss tak sediakan tempat solat. Macam-macam alasan.
Kak T! saya cuma terlepas sahur. Yang sunat saja. Pun saya masih berpuasa. Yang terang-terangan puasa tapi tak Zohor tu macammana ya? Akak tolonglah tegur mereka juga. Saya tak berdaya. Letih sangat!

nota: memang lazim orang kita lebih mementingkan hal-hal tetek bengek dari hal-hal yang lebih utama. Ini baru satu contoh

Ceritera Hari Raya dan Deepavali

Ini kisah betul berlaku. Tenungkan

Tina, berbangsa India. Beragama Kristian. bila ditanya sama ada dia merayakan Deepavali. jawapnya tidak. Cuti pun dia tak ambil.

Tapi dalam masa yang sama, media, pemimpin menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia (maksudnya temasuklah umat Islam) bersama-sama merayakan Deepavali.

Apa tak tahu beza ke, menghormati perayaan dengan merayakan bersama-sama?

Ceritera balik kampung

Terminal Larkin tak jauh, naik teksi. Salah sendiri tak beli tiket awal. Semua tiket ke BP penuh malam tu. Pilihan yang ada bas sangkut- sangkut. Bas no 2 pergi Air Hitam.

Aku pun naik.

Teringat masa dulu-dulu.

Masa zaman masih belajar. Duit nak berjimat. Naik sajalah bas sangkut -sangkut ni. Lagipun masa tu nak ke Larkin jauh, kena tukar-tukar bas lagi. Membazir. Walau bas tu penuh, walau kena berdiri lama. Tak kisah. Alah bisa tegal biasa. Tak ada rungutan. 2 1/2 jam baru sampai

Air Hitam (ini kira OK berbanding zaman sekolah di pedalaman Kota Tinggi, Bandar Penawar). Naik teksi pulak atau bas ke Parit Raja. Kemudian suruhla siapa-siapa jemput. ( Sangat beruntunglah ada orang sudi menjemput. Waktu zaman rumah belum ada talifon - masa sekolah ting 1, pandai pulak naik kereta sapu yang bersepah di Parit Raja tu.)
Kesimpulannya, aku memang tak heran naik bas sangkut.

Bila masa dah kerja tapi belum berkereta. Rasa nak selesa sikit. Ke Larkinlah dan naik bas express. Cepat dan selesa. Dah berkereta lagi mudah. Sediakan saja duit minyakdan tol. Sejam lebih sikit dah sampai rumah. Balik bila-bila masa pun boleh.

Selalunya pantang naik bas, mata pun berat. Tapi hari tu tak. Macam- macam dapat tengok. Aku pun sedar, realiti sebenar masyarakat yang aku hidup dengan mereka. Bukan mewah, bukan senang, bukan semua orang dapat hidup dengan impian mereka. Oh.. aku pun orang biasa. Golongan seperti mereka juga. Insaf

.............................

Aku, lebih mudah melihat kelebihan orang lain, sebab itu aku selalu kurang bersyukur dengan apa yang dinikmati. Kalau melihat orang lain, gaji lebih besar, pangkat tinggi, kereta lebih selesa, rumah sempurna, ada keluarga, muka lawa, badan lansing, punya gajet-gajet canggih, boleh gila jadinya.

Gilalah. Tiap saat fikir macammana cara nak jadi macam mereka. Lebih penting, nak jadi macam mereka dengan cara mudah dan masa terdekat. Sebab itulah, ramai orang terpedaya masuk skim itu ini. Cara mudah dapat duit. Sekejap atau lama penyakit gila itu bergantung dengan berapa lama diambil untuk tersedar.

Dan, mujur malam itu, aku dapat ubatnya. Bas sangkut-sangkut. No 2.

Sebab itu, rajin-rajin melihat orang yang susah, supaya kita tak lupa diri.

..............................

Pak menteri sekalian, kalau nak datang melawat kampung. Jangan kecoh-kecoh. Datang saja. Menyamar lagi bagus (mungkin ke?). Kesian orang kampung. Sibuk tebas jalan dan parit. Pasang banner dan banting. Tumbang lembu bagai. Berarak pulak tu. Pak menteri datang tengok orang kampung hidup senang. Senangla hati pak mentari. haha

Keterlaluan

Banyak sekali hal berlegar-legar di kepala. Tapi menulis tidak berkesempatan. Waktu kerja tak ada masa yang dapat dicuri, di rumah tak ada kemudahan. Makin jauh.. makin jauh..

MLM sesi pertama

Hujung minggu lepas, seorang kawan telah bermurah hati menaja saya ke satu seminar perniagaan MLM. Seminar tersebut bertujuan untuk memberi peluang ahli mereka membawa rakan-rakan yang berpotensi sebagai rakan perniagaan. Walaupun saya tidak berminat untuk menyertai perniagaan mereka, saya telah mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan baru. Oleh kerana saya tidak datang sebagai orang yang mahu mencari peluang menjadi kaya, dan saya juga tidak kesempitan wang. Maka, saya dapat melihat seluruh perjalanan seminar tersebut dari ahli-ahlinya, aturcara, pembentang dan isi kandungannya dari persepsi yang berbeza.

PEMERHATIAN 1:
MLM ialah tempat di mana 'mereka' mendapat status idaman.

Hari itu, seramai 600 orang hadirin menghadiri seminar berkenaan. Ahli-ahli berdaftar (saya kira ahli senior yang sudah stabil) memakai busana pejabat lengkap. Lelaki berkemeja, berkot dan bertali leher. Perempuan juga sama, ada yang berseluar panjang, ada juga yang berskirt pendek. Ada yang bertudung, ada yang menggayakan rambut perang. Pendek kata semua cukup bergaya. Zaman sekarang yang mementingkan duit, status dan rupa untuk hidup bahagia (ye ke? haha). Kita selamanya diajar orang yang lebih kaya dan berkedudukan akan lebih dihormati dan mempunyai harga diri yang lebih besar. Maka, kita percaya status itu penting. Bagaimana orang melihat kita itu penting. Gaya dan cara kita itu penting. Dan rasa diri kita bernilai dan penting itu sangat sangat penting.

Dalam majlis itu, saya dapat diperkenalkan dengan ahli yang baru berumur 19 tahun. Juga seorang wanita yang kerja asalnya hanyalah juruwang bank, juga seorang juruteknik kilang yang tak pernah mengimpikan memakai sut layaknya seorang pengurus atau eksekutif.

Ketiga-tiga mereka kelihatan sangat yakin dan bangga dengan pencapaian diri. Cara mereka berjalan dan berinteraksi sangat meyakinkan. Mereka membawa harga diri yang tinggi. Mereka berstatus tinggi. Mereka ialah orang-orang berjaya. Gaya hidup mereka ialah gaya orang-orang kelas pertengahan.Mereka sekarang mungkin memandu kereta import yang bermata bulat, makan di restoran mahal, pakai baju berjenama. Mereka bangga dan yakin, masyarakat memandang tinggi pada mereka. Dengan penampilan sebegitu, tidak akan ada orang mahu bertanya kelulusan dan pekerjaan mereka. Itu semua tidak penting lagi sekarang. Yang penting ialah apa yang dipamerkan di mata. Itu semua bukti, pada masyarakat. Bahawa, ini bukan main-main. Ini bukan tipu, hidup mereka telah berubah. Mereka kini sangat hebat. Bersemangat. Hidup mereka kini sangant bermakna.

Itulah, selain duit, itulah yang mereka dapat. Sistem pekerjaan dan perniagaan konvensional tak mampu berikan mereka itu semua. Semua itu tak pernah mereka fikirkan dulu.

Saya percaya, ketika mereka baru mula mencebur diri, ketika mereka belum mengorbankan kerjaya asal, ketika boss mereka marah-marah, mereka berkata dalam hati. "Huh, kalau boss tahu, aku sebenarnya lebih kaya dari dia. Aku lebih 'high-class' dari dia. Tunggu, aku akan buktikan!"

Bagaimana saya tahu itu? Saya juga berangan menjadi mereka! hahaha

Menentukan nasib sendiri

Buat kawan-kawan yang telah sedar bahawa kita perlu sentiasa memperbaiki diri, TAHNIAH!

Perbaikilah diri kita, dari segenap segi. Kewangan, kekeluargaan, sosial dan paling penting ilmu dan amal.

Rajin-rajin mebaca dan berfikir.. rajin-rajin mengkritik, keluarkan pendapat sendiri. Walaupun bertentangan adalah lebih baik dari sentiasa bersetuju dengan orang lain.

No 1 Priority?

Dalam dua hari, ada dua orang yang mahu berjumpa. Soalan yang ditanyakan "What is your number 1 priority?" .. in life.

1. Freedom from financial pressure
2. More quality time with family / Less stress
3. Children Education
4. Better standard of living
5. Travel
6. Own business / self-employed
7. Early retirement with on going income
8. Helping others / charity

Malangnya, dalam sebegitu banyak jawapan, satu pun tidak mengena dengan apa yang aku mahu. Menurut mereka lagi, kemewahan bermaksud TIME+MONEY. Kita mesti ada kedua-duanya. Bila aku beritahu mereka, matlamat aku bukannya duit. Aku setuju dengan pendapat duit itu keperluan, tp jgn sekali-kali jadikan ia tujuan. Lagipun sekarang ini, waktu muda, memang waktu untuk berkerja. Seperti kata Shahnon Ahmad dalam Srengenge, hidup itu kerja dan kerja itu hidup.

Mereka kata, mereka hanya mahu 'simple life'. Mereka mahu lebih masa untuk keluarga. Tanpa mereka sedar, dalam mereka mengejar apa yang mereka panggil kemewahan iaitu DUIT dan MASA. Itulah juga yang mereka korbankan. Dan bilamana mereka telah dapat banyak DUIT (telah terganti malah berlipat ganda dari apa yang dikorbankan), adakah mereka akan berhenti dan menikmati MASA yang sepatutnya mereka nikmati? Duit itu, bolehkah membayar kembali masa bersama anak-anak ketika mereka membesar? Duit itu, bolehkah membayar kembali masa kehidupan normal manusia (kerja siang dan berehat malam)? Soalan ini timbul kerana mereka lazimnya 'mereka' berkerja normal waktu siang dan membina 'empayar perniagaan sendiri' malamnya.

Adakah orang yang telah berkerja bersungguh-sungguh untuk membina empayar perniagaan bila tiba satu hari mahu berhenti begitu saja? Lebih lama seseorang dalam bisnes, lebih banyak peluang bisnes akan terbuka. Relakah dia melihat saja DUIT itu pergi? REALITINYA, lebih banyak DUIT kita ada, lebih banyak masa kita perlukan untuk mengurus dan menjaganya. Dan manusia biasa yang tak berfikir jauh (betul-betul jauh), tak akan pernah rasa cukup dengan duit yang mereka ada. Berapa panjangkah umur kita untuk menikmati kemewahan yang ingin kita bina ini?

Orang-orang yang berfikir jauh (betul-betul jauh) berfikir begini:
petikan dari: http://tehranifaisal.blogspot.com

Sebagai orang Islam, dunia hanyalah tempat rehat menempah bekalan dan tempat berteduh membanyakkan amal.

Saya ingin mengingatkan mereka akan kematian kerana salah satu bahagian yang sering diabaikan oleh manusia moden ialah mereka akan mati, dan mati itu pasti maka kita tidak boleh berhujah dengan Tuhan kita terlupa hakikat ini. Malah mati itu sendiri satu dunia baru untuk membawa kita ke dunia lainnya.

Jadi persoalannya bagaimanakah kemewahan tadi, DUIT+MASA dapat kita kekalkan pada perjalanan paling akhir?

Menikmati sokongan dan dorongan

Selamat datang kawan-kawan.

Aku dengan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kasih sayang, sokongan, dorongan dan galakan yang diberikan. Betul-betul aku menikmati segala dorongan, sokongan, galakan, dokongan dan semua-semualah yang kalian berikan. Sekalian-sekalian yang kalian berikan sudah jadi hiburan dan kekuatan dalam diri aku.

Betul! aku mampu lagi gagah sebab kalian.
Betul! aku masih memegang kuat pada janji 5tahun aku, sebab kalian.
Betul! aku masih bersemangat sebab kalian.
Betul! aku senyum mengenang kalian.
Betul! ya memang betul sekali, aku sayang kalian sungguh2..

Aku mahu jadi orang berjaya. Bukan ukurannya harta, bukan kedudukan. Lain, kayu ukurku lain. Doakan aku. Dokonglah aku.

Terima kasih atas kasih sayang, nasihat, peransang, masa, duit, tenaga dan segalanya.
* untuk semua orang yang mendokong dan mempercayai - mak, kak ani, kakak dan keluruh keluarga, kak nita, prof rose, dr ct, dr azizah, yanti, yatt, yati, lai leng, willa, sharin, mala, nott, fresh, aida, ida, hayat, alin, kak su, zam dan semua kawan-kawan ..semua.. semua.. dan BP terima kasih sebab setia mengomen :)

dan amy, yg selalu membuat aku rasa berharga.. ahaks.. maaf ya tertinggal :)

** yok! nikmati dan hargai sokongan disekeliling kita. Ia sangat-sangat membuat kita rasa BERNILAI :)

Masa yang sedikit atau disiplin yang teruk?

Betul, betul saya sangat sibuk. Tak tipu punya. Sampai tak sempat nak menulis apa-apa di sini. Banyak juga idea yang datang kadang kala, tapi meluangkan masa tak mampu. Sebab saya bukan penulis yang pandai, hendak mengarang sebaris ayat pun menungnya panjang.

Tapi bila di fikir-fikir, saya bukan orang tersibuk didunia. Saya tak punya apa-apa untuk disibukkan. Belum bekeluarga, tak ada anak kecil merengek, tak juga menjaga ibu tua. Hidup urusan diri sendiri. Tak ada juga pekerja yang perlu dilayani kerana tak berpangkat tinggi apatah lagi syarikat kecil mahupun besar, semunya saya tak ada. Saya cuma pekerja yang biasa. Habis, apa saja yang saya sibukkan? Tengok-tengok keliling. Tengok-tengok bos-bos besar. Tengok mak-mak kelek anak. Tengok bos-bos perempuan yang berkeluarga. Tengok menteri-menteri. Tengok prof-prof. Semua ada 24 jam juga. Mereka lebih sibuk, lebih banyak kerja. Tapi kenapa waktu ini mereka sudah ada dirumah? Kenapa saya masih di sini? Sebab saya gagal uruskan masa. Sebab saya leka, banyak alpa. Asyik jenguk blog sana sini. Asyik borak di Yahoo Messenger. Selalu kerja tak ikut rancangan.

Kenapa waktu ini mereka (orang-orang yang lebih banyak kerja itulah) sudah ada dirumah? Kenapa saya masih di sini?

Sebab

Sebenarnya saya hampir pulang tapi saya tertinggal satu kertas. Sangat penting. Kemudian saya buka PC sebab nak mencetak. Kemudian saya teringat blog yang lama tak dijenguk. Rindu pulak. Kemudian saya mula menaip "Betul,betul saya sangat sibuk....". Ah.. memang betul, saya selalu kerja tak ikut rancangan. Sepatutnya saya dah sampai dirumah waktu ini.

Antara Aku dan Saya

Aku dilahirkan dalam lingkungan masyarakat Jawa. Berdarah Jawa dari kedua-dua belah emak dan abah yang telah sedia bersaudara pun (kakak sulung abah berkahwin dengan pakcik emak). Kampung aku pun rata-rata orang Jawa, kalau ada yang bukan Jawa kerana sebab berkahwin dan pindah duduk di situ. Kalau waktu rewang kenduri, mak cik-mak cik sembang-sembang guna bahasa Jawa. Ketawa bukan main, bila nak balik sambil menjinjing berkat, masing-masing bermohon maaf, manalah tau gurau terlebih.

Ini aku nak cerita kisah Aku dan Saya

Dalam kamus orang Jawa cuma ada ganti nama aku saja, sebab itu kami beraku-aku dengan emak, abah, nyai, yai, kakak, abang, maman, bibik dan lain-lain lagi. Itu bukan kesalahan. Jawa menggunakan AKU atau KU jika bersambung dengan perkataan, lawannya KUE atau MU jika bersambung dengan perkataan. Ndewe pula digunakan untuk menerangkan kepunyaan.

Contoh: Wekku -> kepunyaanku; Karepmu -> suka hati engkau

Semasa kecil, beberapa kawan sepermainan yang bukan berdarah Jawa sepenuhnya selalu berkata 'Mak kita tak bagi cakap aku, nanti jadi hantu paku'. Ye ke? hahaha

Sekolah rendah di kampung, rata-rata pun keturunan Jawa, sesama kawan memang ber aku-aku. Cuma dengan cikgu saja ber saya-saya.

Masuk sekolah menengah di bandar, suasana berbeza. Masa tingkatan 1, cikgu Bahasa Melayu berhujah kenapa 'AKU' tak sesuai digunakan oleh orang yang bertamadun dalam pergaulan seharian. Nampak sangat dia bukan Jawa. Dia terang-terang beranggapan 'AKU' adalah sesuai untuk orang kampung saja. Atau melambangkan orang yang kurang berpendidikan, kurang sopan kata dia. 'AKU' tu second class. Aku ingat, dia suruh sesiapa yang beraku-aku dengan keluarga angkat tangan. Waktu tu aku rasa macam nak menyorok bawah meja. Takut benar rahsia aku beraku-aku terbongkar.

Tingkatan 2, cikgu Bahasa Melayu berketurunan Jawa, malah pernah mengajar dia sekolah di kampung aku (dia juga cikgu pada kakak dan abang2 aku). Dia pun berhujah kenapa beraku-aku sebenarnya tidak salah. Malah 'AKU' lebih mulia darjatnya dari 'SAYA'. Alasannya, puisi-puisi sastera tak guna perkataan saya. Kalau guna juga jadi pelik. Kalau kita beraku-aku dengan kawan, maksudnya sudah mesra benar. Boleh main cuit-cuit, dan boleh juga pinjam duit. Kita juga beraku-aku dalam sajak cinta, surat cinta untuk meluahkan perasaan yang paling halus pada kekasih. Dan paling utama beraku-aku bila berdoa pada Kekasih pada sekalian kekasih. Tuhan Rabbul Alamin. Jadi tidaklah salah sangat beraku-aku ni. Waktu itu aku senyum lebar. Aku bangga menjadi 'AKU'. hahaha

Rupa-rupanya itu cuma masaalah budaya setempat. Macam orang Kelantan guna jantan dan betina untuk orang. Bagi mereka tak salah, tapi bagi orang Johor itu menghina.

Kemudian, apa hukum berI-I dan berYou-You pula? ;)

p/s jadi di blog ni, aku akan guna dua-dua. ikut suka akulah! hahaha

Mimpi dan demam

Selamam melayar ke sana sini, membaca kisah-kisah tahanan ISA, korek-korek cerita-cerita lama, kisah keluarga mereka dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Oleh kerana kesunyian rumah yang tivinya rosak, ditambah dengan badan yang tak begitu sihat, saya selesa mengulang baca buku-buku lama. Jadi malam tadi bila saya pulangkan buku 'Detik-detik diri di daerah daif' ke raknya saya tarik satu buku lain, Dari UIA ke ISA hasil pengalaman Dr BadrulAmin. Antara ceritanya mengenai dia isteri dan anak-anak yang terpaksa bermalam dibalai kerana kaset ucapan Anuar Ibrahim dijumpai dalam kenderaan mereka. Dan malam itu saya pun bermimpi.

Saya berada ditempat kejadian. Saya salah seorang aktivis pembebasan ISA. Pihak berkuasa menjalankan operasi penangkapan beramai-ramai (main tangkap je) terasuklah seorang bayi. Kemudian suasana jadi sangat kecoh. Orang terlalu ramai, berhimpit-himpit. Masing-masing naik suara. Polis merata-rata. Tak dapat beza. Kami pula para aktivis ni berhempas pulas mahu menyelamatkan bayi tersebut dan sorokkan dari pihak berkuasa. Sedang keadaan makin kecoh dan hangat, saya pon terjaga dengan terkejut. Ah... badan saya panas sekali. 39.20 darjah celcius! kepala pula pening, mabuk dan mual.

Saya pon tak tahu, saya mimpi kerana demam saya atau demam saya menjadi-jadi kerana mimpi tersebut. Tapi mimpi tadi benar-benar menakutkan. Adakah bayi dalam mimpi tadi boleh ditakwilkan sebagai orang yang tidak berdosa?

Gila-gila bola 1

Sana sini orang cakap pasal bola. Dulu langsung aku tak tau pasal sukan. Sukan apa pun. Tengok badanlah beb! hehehe. Masa sekolah dulu waktu petang kami diwajibkan beriadah. Kawan-kawan semua bersukan tak kiralah main badminton ke atau main galah. Ada jugak yang main baling selipar. Aku sandar pada pagar gelangang tenis, atau duduk saja ditepi longkang, baca novel. Kawan-kawan tak ambik kisah buku apa aku baca, mereka kata selera aku pelik. Kemudian nanti aku akan ceritakan.

Semasa zaman sekolah dulu, aku selalu perhatikan. Pelajar paling popular biasanya juara sukan. Boleh kata selebritilah atlit sekolah tu. Bukan saja popular dia kalangan pelajar, tapi juga dikalangan cikgu-cikgu. Bagi atlit yang mengharumkan mana sekolah, selalunya akan jadi anak emas. Walaupun akademik tak berapa cemerlang, malah banyak pula masalah disiplin, emas tetaplah emas. Selalulah dibelai dijaga digilap supaya sinarnya tak pudar. Apataknya, dia julang nama sekolah, boleh jadi pak menteri kenal sekolah pun sebab dialah. Itulah sebab kedua aku tidak menghargai sukan. Sebab pertama aku memang tak berbakat dan tiada kelebihan dalam sukan, kaki pendek, tulang kecik. Badan saja sihat sikit.

Nak dijadikan kisah, aku duduk serumah dengan seorang budak Terengganu yang gila bola. Sanggup dia tak tidur malam, sedikit sebanyak kegilaan dia tu menjangkit juga pada kawan-kawan yang lain. Waktu itu, Astro belum wujud, kalau ada pun, tak kan mungkin kami mampu. Tuah orang Johor, boleh menumpang siaran Singapura. Waktu itu ada saluran khas untuk sukan (sekarang tiada lagi).

Sekarang aku dah berubah persepsi pada sukan. Itu dari pembacaan dan pemerhatian juga. Sukan bukan setakat memeluhkan badan, bukan setakat mengejar pingat. Entah-entah orang sukan pun tak berfikir macam aku, aku saja yang lebih-lebih. Hahaha. Kalau orang menyampah tengok bola, dia akan kata kenapa bodoh sangat semua orang nak kejar bola yang satu tu? bagi saja tiap seorang sebiji bola. Aku ada jawapannya yang mungkin budak-budak MyTeam pun tak terfikir, maklumlah aku kan suka melebih-lebih. Nanti aku tuliskan kemudian pada separuh masa kedua :)

Membaca, melihat dan mendengar

Seorang kawan saya kata orang Malaysia lebih suka belajar dari melihat dan mendengar.

Suatu hari Mala berkata pada saya, "Aku rasa otak aku dah tepu dah, engkau lagi lah ek".
"Ha? Kenapa?" Saya tanya dia semula.
"Sebab engkau banyak membaca!"

Sejak blog jadi kegilaan ramai orang, saya pon turut 'gila' membaca blog-blog orang. (Dulu saya tak suka berblog sebab bnyk blog yang saya jumpa menceritakan kisah dari bangun tidur hingga tidur semula. Tapi bila kawan-kawan gunakan blog untuk menyampai berita masing-masing, Saya pun turut berblog juga khas untuk kawan-kawan. - bukan blog yang ini ;)). Satu blog yang saya singgah hari-hari ialah blog "Mawi" saya :D . Saya baca entry dan juga komen-komen pengikut blog tersebut. Mereka mampu berdiskusi, berhujah, mengeluarkan fakta dan pendapat. Kemudian saya rasakan betapa ceteknya ilmu saya dan betapa saya kurang membaca berbanding mereka-mereka itu.

Sekarang saya dah termasuk dalam kategori orang yang kurang membaca, habis kawan-kawan yang kurang dari saya? Kawan yang lebih suka mendengar dan melihat tadi? Mala? di mana tempatnya? Sedangkan saya percaya Mala dan lain-lain mewakili majoriti rakyat Malaysia.

Potensi diri yang tersembunyi

Saya percaya setiap orang mempunyai potensi yang berbeza. Sebab setiap orang itu unik. Setiap orang mungkin mempunyai satu atau beberapa potensi yang menjadikannya lebih unik.

Saya juga percaya seseorang itu akan mencapai tahap kecemerlangan tertinggi apabila dia menggilap potensinya sendiri. Sebab itu, kita kenalah renung-renungkan diri atau cuba-cuba perbagai perkara untuk melihat dimanakah potensi kita sebenarnya.

Sebab itu, jika tidak mempunyai hati untuk menjadi guru, jangan gatal-gatal memohon semata-mata cuma kerana pilihan terakhir. NAMUN, jika anda bulatkan tekad dan berusaha mencintai perguruan, maka tidak ada salahnya berbuat demikian. Tak dinafikan guru adalah pekerjaan yang sangat mulia (hakikatnya begitu, tapi bukan dimata komuniti materialistik sekarang)

Diatas semua potensi tersebut, keyakinan pada diri yang kita mempunyai POTENSI tersebut adalah hal yang paling mustahak.

Cerita saya

Saya dan potensi sebagai ketua
Dahulunya, saya sangat tidak berkeyakinan untuk menjadi ketua. Saya bimbang jika saya jadi ketua, saya akan bossy. Saya pernah menolak beberapa jawatan disekolah. Ketika di tingkatan tiga, kami telah diberi peluang untuk menjayakan persembahan sempena majlis akhir tahun asrama puteri. Waktu itu, saya telah diberi kepercayaan menjana idea seterusnya menulis cerita dan mengarah (lebih kuranglah hahaha) persembahan tersebut. Apa yang membuat saya tidak percaya waktu itu, saya sebenarnya memimpin sekumpulan lebih kurang 50 orang pelajar (2 kelas). Saya kira semua orang menikmati waktu yang menggembirakan ketika itu :D.

Saya dan potensi sebagai pengajar
Ketika ditahun dua pengajian ijazah pertama, saya telah cuba-cuba menjadi guru kelas tambahan. Aduhhh... susah rupanya menjadi guru. Saya akhirnya berkeputusan yang saya tidak berbakat sebagai guru. Ini saya pegang bertahun-tahun. Lagi pula kadangkala orang lain sukar memahami isi kata saya tapi mereka kata itu sebab saya baca buku sastera :P. Setelah bekerja, saya berpeluang memberi kursus pendek berkaitan bidang saya (pengaturcaraan web) pada pelajar-pelajar pasca ijazah dan kemudiannya pada rakan-rakan sepejabat. Walaupun saya rasa diri bukan guru yang baik tetapi saya suka berkongsi ilmu dan berbincang tentang apa-apa saja perkara. Senang kata saya seorang yang banyak bercakap. Beberapa orang memberikan komen pada kebolehan saya mengajar

Dr Rose: Ok lah! tak ada lah teruk, boleh lah tu.
Kak Mas: Aku suka sangat kau terangkan tadi, jelas. Senang nak faham.
Koh: You're my best teacher! (eleh.. ini sebab saya yang kata dulu, koh is my best student! hahaha)
Cindy: OK! dapat faham.
Fresh & Alias:..... we was not allowed to attend (Oppss sorry!)
Mala: Banyaknya engkau cakap, bila pulak nak sampai giliran aku?
Kelas semalam best! ,cerita mala pada nott

Oleh itu kemudiannya saya mengubah persepsi pada diri sendiri. Saya agak bagus juga sebagai pengajar, tetapi saya lebih pandai berkomunikasi dengan orang dewasa berbanding kanak-kanak.

Potensi saya sebagai peniaga.
Ini yang paling saya tidak yakin, sebab saya cepat mengalah dalam meyakinkan orang. Saya selalu akan mengalah pada penolakan pertama. Tapi apa yang saya buat sekarang? Saya sudah mula belajar berniaga. Minggu lepas saya, kak ani dan emak telah pergi ke pasar borong di Ayer Hitam. Kak ani dan emak telah memilih sepasang baju. Saya tidak setuju dengan pilihan mereka dan memberi cadangan lain. Saya yakinkan mereka kenapa cadangan saya lebih baik. Akhirnya mereka setuju dengan saya. Walhal, pilihan yang terdahulu asalnya sudah dipegang kejap-kejap, hampir-hampir mahu dibayar. Kes ini lebih senang kerana saya meyakinkan kakak dan emak saya tetapi cukup untuk meningkatkan keyakinan saya untuk meyakinkan orang lain nanti.

Memilih idola

Inilah satu kebodohan budak-budak sekarang. Nak jadi orang berjaya, tapi salah memilih idola (walaupun ramai yang tak selesa dengan perkatan idola sebab asalnya dari perkataan idol yakni berhala, tapi saya guna juga). Tapi kebodohan budak-budak muda sekarang bukan salah mereka semata-mata. Hari-hari siapa yang mereka tatap di tv? dengar di radio? majalah jenis apa yang paling nudah dan bersepah di kedai?

Orang-orang tv sangat suka menjemput artis dari rancangan hiburan hinggalah forum perbincangan. Asik-asik artis, asik-asik artis. Berbincang mengenai hidup berkeluarga, jemput artis. Berbincang mengenai hidup berkerjaya, jemput artis. Okey, sebahagian
kecil artis diakui agak intelek juga. Tapi kebanyakan mereka suka cakap merapu-rapu. Bagi komen dan menjawab soalan pun merapu. Tak ada isi, tak ada hujung pangkal. Favorite word:"saya rasa". Pendek kata, tiada isi ilmiah yang diberikan. Jawapan-jawapan mereka biasa saja, serupa kalau dijemput siapa-siapa pun. Kalau diuja soalan yang agak sensitif, mereka beri jawapan yang 'selamat'. Kononnya tak nak provok mana-mana pihak.

Nak pilih idola biarlah bijak. Kata cita-cita nak jadi pemimpin tersohor, jadi buatlah sedikit kajian mengenai pemimpin-pemimpin agong dunia kalau tak pun pemimpin negara. Kalau bercita-cita nak jadi jutawan, kaji kejayaan-kejayaan jutawan berjaya. Kalau cita-cita nak jadi pejuang agama, selam kisah-kisah getir pembela agama.

Namun, bukan semua yang bukan artis juga baik untuk diikuti. Walaupun dia idola, tapi bukan idola dalam semua perkara (yang layak sebegini saya kira hanyalah Rasullullah s.w.t saja). Ambillah mana-mana lingkungan yang positif, yang lubang tu ambil pula dari lain-lain idola. Idola perlu benar-benar kita kenali, bukan dari latarnya tapi pemikiran, tindakan dan responnya.

Pada saya, memilih idola tidak susah. Toleh saja kiri kanan. Idola harus dekat pada kita supaya mudah kita hendak mencontohi (sebab itu sahabat-sahabat nabi kalau boleh tak mahu berenggang dgn baginda). Boleh jadi emak bapa kita, boleh jadi adik beradik atau pak cik makcik, boleh jadi cikgu tadika kita. Mana-mana bahagian diri mereka yang cemerlang kita ikuti dan contohi. Bila kekusutan, kita rujuk pada mereka.

Pendewasaan saya sebagai seorang wanita, telah banyak terpengaruh selain dari buku-buku yang saya baca juga dari 3 orang wanita hebat yang banyak memberi inspirasi pada saya. Sebab itu di halaman dedikasi pada laporan berkulit tebal berwarna maroon yang memungkinkan saya naik kepentas konvokesyen itu saya abadikan:

For three superwomen in my life,
mak, dr rose & dr ct,
who inspired me by their own special way

Cakap-cakap tepi II

Ini cerita kira-kira hampir 4 tahun lepas. Aku bersuara tentang niat aku nak lanjutkan lagi belajar aku. Aku bukan lagi cerita pada mak cik tu, tapi aku cerita pada seorang lelaki yang agak berpendidikan juga. Komen dia:

"Engkau ni, nak buat apa sambung belajar? orang perempuan ni, belajar tinggi-tinggi nanti susah nak dapat jodoh. Kalau engkau dah ada sesiapa tak apa lah."

..............................................................
Katakanlah aku pakai nasihat tadi, mungkin akan terjadi dialog di bawah ni, boleh tak bayangkan?

Kawan: Awa, kau kata hari tu nak sambung belajar lagi, jadi tak?

Aku: Tak jadilah, aku takut tak kawin. Maklumla lelaki sekarang ni bongok-bongok. Masa sekolah tau merempit je. Dapat masuk u pun sebab kuota. Lepas tu kerja asal dapat. Langsung tak tau berfikir. Langsung tak ada cita-cita. Nak kaya tapi gelojoh. Semua nak senang dan cepat. Kalau aku belajar tinggi nanti diaorang sangka aku ni berlagak. Nanti lelaki-lelaki semua takut pada aku. Kalau ada yang berani pun, kesian juga, mana nak letak muka kalau balik kampung, nanti orang asyik kata laki makan duit bini. Mana dia nak letak ego dia. Nanti dia rasa rendah diri pulak. Nanti dia kata kita tak hormatkan dia. Nanti dia rasa anak-anak lebih hormat kan mak mereka. Tu lah.. tak apa lah aku korbankan keinginan aku dan cita-cita mak aku, asalkan aku kawin.
............................................................


p/s: Walaupun sampai tarih entry ini ditulis aku belum berkeluarga, bukan sebab status pendidikan, bukan sebab syarat material, bukan sebab aku ego, bukan sebab aku eksen, bukan sebab aku pilih bulu. Sebabnya, Allah sajalah yang tahu. Lambat pon tak apalah asalkan berbaloi.

Ohh.. mak cik

Ohh.. mak cik..
Betullah kata mak cik,
Perempuan tempatnya di dapur,
Sebab dapur itu tempat dia merebus sayang,
Dengan gula, dengan garam, dengan lada dan asam,
Jadi sedap sayang itu sebab tangan yang menggengam.

Ohh.. mak cik..
Betullah kata mak cik,
Perempuan tempatnya di dapur,
Sebab itu emak saya ajar saya pegang pisau dan senduk,
Ajar juga pegang gunting dan jarum,
Kerana hendak membuat hidangan sayang itulah.

Ohh.. mak cik..
Betullah kata mak cik,
Perempuan tempatnya di dapur,
Pergi dapur tak perlu sijil,
Sijil tu mahal, kena modal beribu-ribu,
Itu belum lagi modal hati, modal jiwa, modal semangat, modal cita-cita, modal harapan.

Aduhai mak cik..
Mak saya tu cita-citanya tinggi..
Jangan lah mak cik sindirkan dia,
Emak saya tak banyak warisan,
Pokok sawit cumalah beberapa batang,
Tak sampai 2 generasi lagi semuanya hilang.

Aduhai mak cik..
Kasihan anak-anak mak cik,
Cubalah mak cik tanya cita-cita mereka,
Kalau mak cik dulu berfikir dan mak cik sedari,
Tak mustahil mak cik sekarang emak seorang menteri.

Cakap-cakap tepi

Ini kisah lama, waktu aku belum matang, waktu dunia aku masih indah, waktu aku belum pernah susah.

Kira-kira hampir 10 tahun dulu, waktu aku hari-hari keluar ke laman. Tunggu posmen. Kalau rajin menyapu daun kering hasil pokok pelam yang tak pernah berbuah. Kalau tak duduk-duduk saja kat pangkin bawah pokok. Bual-bual dengan emak. Waktu inilah mak ceritakan betapa dia cemburu lihat abang dia dapat pergi sekolah. Mak tak dapat kesekolah sebab waktu itu bukan zamannya orang Melayu wajib hantar anak perempuan ke sekolah.

Satu hari sedang aku dan mak duduk-duduk saja di bawah pokok pelam tu datangla seorang makcik. Bila saja dia tahu kisah aku hari-hari duduk bawah pokok pelam tunggu posmen, laju saja mulut dia komen.

"Perempuan ni belajar tinggi pon, ke dapur jugak!"

Berdesing jugak la telinga aku masa tu. Malas nak layan, aku pon masuk rumah. Membebel dalam hati. Memangla kedapur, tapi dapur rumah apa? rumah murah ke banglo, flat ke kondominium? Pegi pasar naik apa? basikal? motor? kereta? Peti sejuk berapa liter? Mesin basuh manual ke auto? Berapa kilo? dan yang penting, ingat nak bela anak-anak zaman akan datang sama macam nak bela anak zaman dulu?

Mungkin mak cik tu tak sedar, sebenarnya dia dulupun bukanlah suri rumah sepehun masa. Sebab muda-muda dulu dia ikut juga suaminya turun menoreh subuh-subuh sunyi. Petang-petang ikut juga kekebun pisang, kopi, koko atau pinang. Itu dulu, waktu ekonomi semua dikampung. Sekarang orang duduk dibandar. Bandar-bandar meluas kampung pon tersepit. Orang makin padat. Rumah pun dah rapat-rapat. Kebun dah kurang, yang naik kilang-kilang. Kalau tak berilmu macammana nak berjuang? Dulu busuk-busuk makcik menoreh pon mak cik tetap mem. Makcik toreh kebun sendiri. Sekarang wangi-wangi operator pengeluaran pon tetap mananya kuli.

Kesimpulannya walaupun kami duduk bertahun-tahun di kampung yang sama, tapi kami hidup dalam zaman yang berbeza. Mak cik tu, masih hidup dalam zaman nyai aku, sedangkan mak aku dah maju sezaman dari dia. Aku bangga dengan mak :)

Apapon, mak kata, kejayaan ni bukan semestinya diukur dengan sijil akademik. Asal jadi orang yang baik hati, berguna dan soleh. Orang jawa kata "wong seng bagusssss"

Buku yang mengubah kehidupan aku


Awal tahun lalu, seorang kawan meninjamkan satu buku (nrda a.ka yanti). Dia dapat buku tu dari kuiz di internet. Mula-mula aku baca buku tu dengan tidak sepenuh hati. Tapi, makin lama, makin aku terpaut dengan buku tu. Habis satu pejabat aku suruh baca. Ada yang respond tak sempat, ada yag respond angguk-angguk geleng-geleng. Ada yang pandang saja. Ada yang terus pegi kedai cari buku ni, tapi tak jadi sebab sebelum tu singgah kedai CD dulu (Ida Hakida). Ada yang pinjam baca 1 bab terus teruja nak berdiskusi pasal buku ni (Fresh). Satu hari terserempak dengan Daphne di tangga pejabat. Aku kelek buku nilah masa tu, Daphne kata "Waa Hawa, you're so hardworking". "One day, I'll beat him" Aku muncung ke pejabat boss. Ketawa besar.

Jadi nak berkongsi lah ni kononnya. Sedikit-demi sedikit, aku ceritakan apa yang ada dibuku ni. Kalau nak khatam cepat, beli dan baca sendiri.. haha.

Klik pada gambar buku tu, akan bawa anda ke amazon.com. Boleh belek-belek isi kandungan dan beberapa muka surat terawal dan bab pertama (klik 'excerpt' pada tab "Section" di sebelah kiri.

Tajuk blog ini pon, idea dari buku tu juga, sebab tajuk buku tu "HOW TO GET FROM WHERE YOU ARE TO WHERE YOU WANT TO BE" - barang-barang dah disediakan, hati dah mantap, mohon doa minta petunjuk dan kekuatan. Sekarang aku nak mengembara. Inilah cerita pengembaraan Awa :)

Pertama kali

Hari ini, 11 Mei 2006. aku mula menulis pada blog ni. Tak ada siapa yang tahu. Aku tak beritahu sesiapa.

Beberapa bulan lepas, bila aku ambil keputusan besar macam-macam soalan orang tanya. Kenapa? kenapa? kenapa? Jawabnya..

"Tunggulah lima tahun lagi, waktu itu semua orang akan faham kenapa aku ambil keputusan ni"

Dan blog ini, diharap dapat menjadi inspirasi pada orang-orang yang juga mahu jadi seperti apa yang aku mahu.. apa yang aku mahu? tunggulah lima tahun lagi barulah semua orang dapat lihat apa yang aku mahu.

Apa yang tertulis pada blog ini nanti akan jadi sejarah, mungkin jadi panduan, mungkin jadi rujukan.. ya.. siapa tahu kan?

Beri aku tempoh lima tahun..


Aku Saya Ana Wo I

N3 Lepas-lepas

Jalan Pintas


Komen Terbaru

Peminat Aku

Yok ngeteh yok!!

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Bekas tapak kaki