Blog Widget by LinkWithin
Janganla jakun sangat

Pagi tadi ada la gegar sikit. Ada juga orang-orang turun ke lobi. Tapi aku tak ada rasa apa2 pon. Kerja macam biasa je.

Aku tak berada di meja ketika mesej ni muncul di skrin




alahai.. takkanla teruk sangat kualiti bangunan kat Malaysia ni. Goyang sikit nak runtuh. Orang Acheh selalu kena gempa pada diaorg mcm guruh je. Kita ni bukan gempa pon, tempias sikit je.

Nah! kalau tak puas hati, tengokla sendiri. Sihat wal afiat je Puteri Pan tu ha.. air kolam dia pon tak tumpah keluar:P



Ini menguatkan lagi teori MELAYU KUAT BERCERITA sila klik utk cerita lanjut.

Menambak Pantai Lido

Sesiapa yang dah lamaaaa tak datang ke JB. Kau tak salah kalau kau rasa Singapura semakin dekat.




Ini ialah Pantai Lido berdepan dengan Dataran Bandaraya JB. Pembangunan sampai ke Teluk Danga - tapi bukan ditambak sepanjang pantai. Mungkin beberapa tahun lagi Straits View kena tukar nama jadi Highway View sebab Selat Teberau mungkin terlindung dek lebuhraya baru yang tinggi.

"Singapore mesti hangin kan?" Kata Alin. "Kenapa?" Tanya aku.

"Sebab diaorg bukan main susah nak dapat pasir, mati-mati kita tak mau jual. Kita sedap2 tambak banyak-banyak macam ni".

"Hu hu.. kita punya pasir, kita punya sukalah.."

Cinta Granada : Tragedi yang berlarutan




Salam Aidilfitri ;)

Walaupun masih ada rasa bersalah pada tumpukan buku-buku yang belum sempat dibaca, aku tak dapat menahan dari membeli Cinta Granada. Aku seakan mahu melompat ketika terlihat nama Radwa Ashour, setelah aku teliti benarlah, buku ini adalah sambungan dari Rindu Andalusia. Rindu Andalusia yang aku beli ketika PBAKL April lepas adalah buku pertama dari Trilogi Granada. Terbitan Telaga Biru namun ia adalah buku terjemahan dengan teks Bahasa Indonesia. Kerana terkesan dengan Rindu Analusia, aku mencari Trilogi Granada ketika di Bali [Hasil shoppingan buku di Bali], tapi tak berjaya mendapatkannya. Alhamdulillah, dah tiba buku ni di Malaysia.


Rindu Andalusia bermula dan berakhir dengan kematian. Saleema menyaksikan Abu Jaafar meninggal kerana terseksa batinnya melihat kitab-kitab di bakar. Seperti Deja-Vu, kisah ini berakir dengan Saad, yang mati berdiri melihat isterinya Saleema di bakar hidup-hidup.


Kisah keluarga malang ini berlanjutan dalam Cinta Granada, isi rumah Abu Jaafar yang dulu penuh kini cuma dihuni oleh Hassan, isterinya Mariama dan cucunya Ali. Mariama, menantu Ummu Hassan yang dulu kebudak-budakan diangkat menjadi tunjang kisah ini. Mariama menyaksikan pemergian dan kematian seorang demi seorang penghuni rumah tersebut. Naeem telah kembali dari perantauan menyertai 3 beranak itu di rumah Abu Jaafar. Namun, baik Hussien, Mariama mahupun Naeem, mereka semua sudah tua, sudah menginjak 70-an. Hassan telah lumpuh. 3 orang tua yang hampir pikun dan selalu bergaduh tentang hal remeh dan kebudak2kan selalu membuat seorang anak kecil kebingungan dengan tingkah mereka. Kanak-kanak itulah, Ali, anak Hussien dan Aisyah yang ditinggal pergi untuk menjadi gerila dipergunungan Andalusia. Pada Ali mereka tumpahkan kasih sayang. Memanjakannya dan menceritakan kisah-kisah dongeng. Naeem, selalu bercerita tentang orang-orang mulia, Abu Jaafar, Said dan Saleema - tanpa Ali mengetahui merekalah leluhurnya.


Hassan, mengajarkan cucunya Ali huruf-huruf Arab secara rahsia. Memang segala-gala tentang Arab apalagi Islam perlu dilakukan dengan rahsia. Generasi muda langsung tidak kenal huruf Arab (sama nasib dengan Jawi?). Kitab-kitab Arab terus diharamkan. Larangan lama tentang pengharaman budaya Arab dan Agama Islam diperketatkan kembali. Bahasa, pakaian, budaya semua menjadi kesalahan. Islam yang mereka amalkan hanyalah yang terpasak pada ingatan mereka, seperti yang diajarkan oleh orang tua mereka. Mereka tiada kitab tempat merujuk, Ilmu juga tidak dapat berkembang. Pintu-pintu rumah perlu dibuka seluas-luasnya pada hari raya, Khamis dan Jumaat untuk memastikan mereka tidak melakukan ibadah dan budaya-budaya berkaitan agama. Jauh sekali untuk mempunyai masjid, beribadah dirumah dan berpuasa pon perlu menyorok. Para wanita dilarang memakai hijab sehingga mereka terpaksa memberi alasan, tudung kepala mereka hanyalah adat tidak berkaitan dengan agama. Nama Arab tak boleh digunakan, tiada identiti agama pada nama. Kemuncaknya ialah pengusiran penduduk. Oleh kerana bimbang dengan kebangkitan revolusi dan gerakan gerila, pemerintah mulanya mengusir para pemuda kemudian sekalian penduduk dipindahkan dari Granada ke Cordova. Dalam perjalanan pengusiran yang menyayat hati inilah, Mariama yang umurnya mencecah 80 tahun, telah tidak mampu berjalan, diampung oleh cucunya, meninggal dalam pelukan Ali. Doa Mariama untuk dikebumikan mengikut syariah tidak termakbul.


Ali telah lari lalu kembali. Dia tidak dapat menahan cintanya pada Granada. Sehingga bilakah mereka mampu bertahan? Adakah generasi muda keturunan Arab di Granada masih mahu mempertahankan tauhid mereka? Atau lebih rela menjadi barua Castile untuk kesenangan hidup? Bagaimana sikap Ali terhadap watak baru yang muncul dari diri kawan lamanya?

...............................

Aku teringat banyak hal ketika menikmati buku ini. Aku tertanya-tanya, adakah apa yang berlaku di Granada ada kesamaan dengan musibah yang menimpa Melaka 1511? Di Granada, Masjid bertukar menjadi Gereja. Bukankah tapak A Famosa yang kamu selalu agung-agungkan dan menjadi icon sejarah negara dibina di atas tapak sebuah masjid? bukankah Melayu Islam dulu menggunakan huruf Jawi yang dipinjam dari huruf Arab, tapi kini kita menggunakan huruf rumi yang dipinjam dari huruf Latin? Lalu bagaimana itu boleh berlaku? Adakah sama seperti tragedi-tragedi di Granada? Walau dalam buku teks sejarah sekolah kita menyatakan Benggali putih itu datang kerana rempah, tetapi fakta yang tidak boleh disangkal mereka datang membawa misi Agama. Oleh kerana Melaka telah diiktiraf sebagai 'Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO', maka A Famosa selama-lamanya tidak boleh diruntuhkan, maka selama itu kita melihat titik hitam lagi berdarah Kerajaan Melayu Islam Melaka. Puji bagi Allah dengan rahmatnya. Walaupun beratus tahun kita dijajah, nenek moyang kita masih dapat mengekalkan akidah hinggalah kita mewarisinya dari mereka. Apalah nikmat yang lebih besar dari iman dan Islam?

Ketika membaca kisah pengusiran mereka dari Granada, aku terbayang Palestine 60 tahun lepas. Ketika rakyat Palestine diusir dari tanah mereka untuk diberi kepada Israel. 60 tahun lepas dan kini mereka masih pelarian. Mereka meninggalkan rumah, tanah, kedai dan masjid mereka.

Bahagianya kita, sebulan kita ber Ramadhan, sambung lagi sebulan ber hari raya. Tak ada siapa yang larang. Masjid kita besar-besar dan mewah. Cuma kita je belum tentu sayang pada masjid-masjid kita. Kau kira, pada hari terakhir sebelum Portugis membedil Melaka, adakah penduduk Melaka meyangka masjid mereka akan runtuh dan tak terbangun sampai bila2? Namun bila ia terjadi, ramailah yang merinduinya.

Aku selalu segan pada Lai Leng, dia penganut Kristian yang taat. Banyak berbakti pada gerejanya. Aku, apakah yang aku sumbangkan pada masjid selain duit-duit kecil sekali sekala? Malu nak mengaku, sejujurnya, tak ada apa2 pon. Tunggu tua macam mak kot, baru hati nak lekat ke masjid. Kawan-kawan, tolonglah aku.

Salam Lebaran

Saya memberi seikhlas-ikhlas kemaafan dan juga memohon seikhlas-ikhlas kemaafan dari pembaca dan pengunjung yang senyap dah yang nyata :). Selamat menyambut Aidil Fitri dengan harapan, ingatilah Allah ketika kita berhari raya sebagaimana kita mengingatinya ketika kita berpuasa. Semoga Allah lindungi kita dan tawarkan hati kita dari juadah-juadah di telivisyen etc. yang merosakkan roh Aidilfitri. Dan jangan lupa bertakbir sekuat2nya. Pendek sekalikan masa bertakbir AidilFitri ni, jangan lepaskan peluang ini.

Saya doakan semoga semangat Ramadhan sentiasa bersama kita sehinggalah kita bertemunya lagi tahun hadapan, Insyaallah.

Lagu hari raya istimewa untuk kalian.. dari seniman hebat :)

Yang Puasa dan Yang Tak Puasa

Apa pandangan kawan-kawan tentang akak akak yang selamba beli makanan (bungkus) waktu makan tengah hari?

Kawan-kawan kisah tak akak-akak yang tak puasa tu makan-makan di dalam pejabat? Atau yang sorok2 kat tangga? atau surau?

Aku secara peribadinya seganla nak pegi beli apa-apa walaupon roti atau McD kat bawah tu. Walaupun semua muslim tahu akak-akak tak puasa sebab uzur syarie, tapi ramai bukan muslim tak tahu dan tak faham. Jadi akak-akak tolonglah jaga jangan sampai agama kita terdedah pada fitnah. Kalau orang sekeliling macam kawan sepejabat, boleh la kita terangkan.

Oleh sebab pejabat aku ni 1MALAYSIA, adalah orang yang puasa dan orang yang tak puasa. Padahal sebelum aku tak pernah ada orang puasa dalam ini kompeni. Tapi bila bulan puasa sampai tau pulak mereka-mereka ni tentang hal-hal puasa.

Beberapa bulan sebelum Ramadhan... Chong akan tanya.. berapa hari lagi hutang puasa?
Waktu Ramadhan, tiap2 hari Chong tanya.. puasa tak hari ni?
Kalau sampai masa tak puasa, tiap-tiap pagi Chong akan tanya.. dah sarapan belum? Nak I belikan McD ke?
Bila sampai waktu tengah hari, Chong tanya lagi, nak tapau apa-apa tak?

Lepas cuti raya, Chong tanya.. buat open house tak? hehehe

Walaupun Chong hari-hari tanya, tapi kalau tak kritikal tahap kelaparan aku ni, aku bohongkan saja dia. Aku belasah makan kurma je. Tak kuasa nak kecoh-kecoh. Janice dengan baik hatinya, secara khususnya beri arahan pada pembantunya untuk 'tolong mana-mana patut'. "Kalau nak makan apa-apa, suruh Chin beli". Aku pernah usung Janice pergi beli roti dan susu. "Kalau tak puasa makan la, nanti sakit perut, tak boleh buat kerja". Tu la yang Janice selalu pesan selain suruh balik awal. Sama ayat dengan mak aku ni. Mak aku selalu kata "Siapa tak puasa patut buat kerja lebih (masak & mengemas rumah waktu nak raya la.. letih woo) sebab boleh makan, tak ada alasan selain malasss"

Makan di pejabat? aku tak ada masalah sebab tak ada orang lapa dalam pejabat ni kecuali Mala, tp kami saling memahami.

Hmm... Chong dah tak adalah sekarang.. jadi soalan rutin tu pon dah tak ada :|. Dalam hal ni, kenapa aku rasa lelaki bukan Islam lebih memahami dari lelaki Islam ek? Dan kenapa aku lebih segan dengan lelaki Muslim dalam hal ni? Kan patutnya mereka lebih memahami. Tapi menurut Alin, diapon hari-hari dapat soalan yang sama dari Ravi. Tapi rakan lelaki Muslim pulak sebaliknya, kutuk2 akak-akak yang makan sorok2 kat tangga. (Tak tau kenapa la dia lalu tangga? bukan biasa naik lif ke?)

1MALAYSIA, HANTU KAU HANTU AKU


"Hawa, kenapa you pakai pin tu?" Tiba-tiba Herbert bertanya. Kami sedang menunggu Pang menyelesaikan 'hal' di server. "Cantik kan? hehehe".

"You pandai ee.. you pakai pin hantu sebab sekarang banyak hantu ke?"
"Hish.. mana ada hantu bulan-bulan puasa ni!"
"Itu hantu Melayu, Cina sekarang bulan hantu maaa..." Ohoho.. aku terlupa pula padahal malam semalam aku lihat jiran-jiran sibuk dengan upacara bakar-membakar.

"You baguslah, you puasa, pakai baju kurung, pakai tudung, lepas tu pakai pin hantu, you betul-betul 1MALAYSIA!" Bersemangat Herbert, mentang-mentanglah 31 Ogos baru berlalu.

Hahahaha.. gelak besar aku. Sebenarnya, aku tak berniat pon pakai pin tu sebab hantu ke apa. Kebetulan saja. Tapi Herbert rasa sungguh senang. Agaknya macam aku rasa senang bila nampak amoi2 pakai baju kurung hari Jumaat. Memanglah tak ada apa sangat, sekurang-kurangnya dapat tolong cik abang-cik abang kita kurangkan dosa mata masa nak ke masjid.

p/s Terima kasih pada Shishi, dia yang hadiahkan pin hantu ni. Tapi masa ambil aku kata, comelnye squid! (aku tak pernah nampak hantu, jadi aku tak tau macammana rupa pin hantu, sebab tu aku cakap ini pin sotong :P)

Menjawab Indonesian

Salam Ramadhan buat rakan-rakan dan pembaca, sama ada di Malaysia atau Indonesia

Ketika berkembara ke Bali Jun lepas, kami ditanyakan beberapa kali orang tempatan tentang isu Putra Kelantan dan Manohara. Saya tak tahu mahu menjawab apa. Pertama kerana saya tidak mengikuti isu tersebut. Bagi saya gossip-gossip rumahtangga V.I.P tak lebih dari gossip artis. Itu bukan berita yang saya cari di suratkhabar(koran), apatah lagi untuk saya ikuti perbincangannya diforum. Pendek cerita saya tidak berminat. Cerita-cerita begini kalau kita cerita panjang sehari semalam kita pon tak akan dapat penyelesaiannya. Yang bertambah cumalah tanggapan-tanggapan yang belum pasti lalu bercambah menjadi fitnah. Astagfirullah. Kedua kerana saya tidak selesa untuk mengulas persoalan sensitif ini, saya sedar saya sedang bertamu ditempat orang. Ada adab yang perlu dijaga.


Sebenarnya, apa yang sedang berlaku di Indonesia sekarang (demo dan kebencian terhadap Malaysia), saya juga tidak begitu mengambil kisah. Saya terjumpa banyak forum dan blog Indonesian yang membincangkan tentang hal ini (ketika membuat sedikit research sebelum bercuti), tak satupon yang saya ambil kisah. Baik forumer dari Indonesia yang melontarkan tuduhan entah apa-apa terhadap Malaysia. Atau forumer dari Malaysia yang gagal menangani secara berhikmah dan beradap, kedua-duanya memualkan. Seperti kanak-kanak berebut ais-krim di tengah panas, sedangkan ais krim sedang mencair dan mengotorkan tangan mereka. Akhirnya, kedua-dua pihak hanya mendapat kotoran. Kerana bagi saya, cuma orang yang buta sejarah dan tuli budaya yang bergaduh berebut budaya bangsa serumpun. Nanti, jangan marah dulu kawan, sila baca hingga selesai. Walaupun mulanya saya tidak peduli, tetapi satu gambar yang terpapar di FB membuat saya terpanggil unutk menulis di sini. Sebahagian kamu, tahu apa gambar yang menjentik saya.


Saya bukan ahli sejarah atau ahli budaya, saya cuma orang yang berfikir. Kami, di Malaysia sebelum mempelajari Sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang agung, kami belajar dulu tentang sejarah Asia Tenggara. Kami belajar dulu tentang kerajaan-kerajaan awal di Nusantara. Itu termasuklah antaranya kerajaan Srivijaya, Majapahit dan Kerajaan Islam Pasai. Kerana, menurut sejarahnya Sultan Melaka yang pertama iaitu Parameswara adalah asalnya dari darah kerabat Srivijaya. Dan Parameswara yang kemudian memeluk Islam dengan nama Iskandar Shah berkahwin dengan Puteri Pasai. Kedua-dua kerajaan Srivijaya dan Majapahit adalah empayar besar yang meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu hingga ke segenting
-kra (sekarang Patani), malah Majapahit lebih meluas empayarnya meliputi seluruh Borneo dan Philiphine. Dengan kata lain sahabat, kita pernah senegara. Perlu diingat, Srivijaya atau Majapahit bukanlah pembuka Semenanjung Tanah Melayu. Telah ada penduduk asal disitu sebelum kedatangan mereka. Dari mana asalnya Melayu? [baca sini http://en.wikipedia.org/wiki/Malays_(ethnic_group)]


Keagungan Melaka berakhir dengan kedatangan Portugis pada 1511. Tarikh berdarah bangsa kami. Walaubagaimanapun, lebih seratus tahun kemudian, Melaka direbut British. Selepas Melaka tumbang, pemerintahan beralih ke Johor yang pada masa itu dikenali sebagai Kesultanan Johor-Riau-Lingga atau Empayar Johor. Sumatera dan Jawa pula masih dipegang Belanda. Untuk mengelakkan perbutan dan kerugian, mereka (British dan Belanda) sesuka hati membahagikan kita kepada dua bahagian. Ya sahabat, kita berpisah bukan kerana berbeza ideologi seperti mana berlaku kepada Korea Utara dan Korea Selatan. Kita dipisahkan oleh penjajah yang tak menghormati hak kita sebagai orang asal. Kemana Johor dan kemana Riau?

Lalu bagaimanakah kamu mahu undurkan penularan dan perkongsian budaya yang telah bermula beratus tahun dahulu?


Indonesia dan Malaysia bukanlah jauh sangat. Berperahu saja sudah sampai. Buktinya kira saja berapa ramai PATI (pendatang asing tanpa izin) dari Indonesia mendarat diperairan Malaysia setiap hari. Dari sejarah awal manusia hinggalah sekarang, orang-orang yang berhijrah ke tempat baru cenderung membawa budaya meraka sendiri. Lebih-lebih lagi jika berlaku penghijrahan secara besar-besaran dari sesuatu bangsa. Contohnya bangsa Cina, mereka terkenal dengan penempatan yang dikenali sebagai 'Chinatown'[lihat senarai disini http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_Chinatowns]. Wujud dibanyak negara termasuk sebelah barat dunia. Terjadi kerana penhijrahan yang besar, mereka mendirikan kampung, mempunyai struktur masyarakat dan menjalankan aktiviti seharian bersama-sama. Mereka juga membawa bersama budaya mereka. Pernahkah kau melihat orang Cina menyambut tahun baru dengan pokok krismas? Mereka tentu menyambut dengan Tarian Naga atau Tarian Singa Walaupon mereka sudah bertukar warganegara. Walaubagaimanapun, mereka tersimilasi juga dengan budaya tempat mereka duduk sekarang. Terutamanya budaya berfikir dan juga menguasai pertuturan tempatan. Semakin maju mereka, semakin ramai orang Cina keluar dari Chinatown dan hidup seperti kebanyakan warga asal.


Kamu mungkin tak tahu saya pernah mengambil subjek Gamelan semasa diuniversiti. Ya, kami juga ada gamelan. Di sebelah Utara semenanjung Malaysia, ada muzik yang mirip dipanggil Cak Lempong. Sewaktu kanak-kanak saya pernah menonton persembahan kuda kepang dan barongan ketika keramaian majlis perkahwinan masyarakat Jawa. Sekarang sudah banyak berkurang kerana ia selalu dikaitkan dengan unsur pemujaan dan syirik yang menyalahi Agama Islam. Kalau kamu datang ke sini, kamu akan terperanjat betapa miripnya kita. Kami pandai menghasilkan tempe. Kami makan lontong, lodeh, sambal goreng, urap, semur dan soto juga menggemari pecel. Ya tentulah rasanya berbeza, tapi kemiripan tetap ada. Begitu juga batik, batik Terengganu dan Kelantan misalnya jauh berbeza dengan batik Jawa. Motifnya, warnanya berbeza, hanya nama saja yang sama. Dari mana datangnya semua itu? apa kami sengaja datang ke Indonesia lalu meniru, kalau ia, bagaimana ia boleh menjadi budaya kami? budaya perlu masa panjang untuk meresap dalam masyarakat kawan! Perpindahan budaya itu boleh saja berlaku beratus tahun dulu, seawal zaman gemilangnya Majapahit dan Srivijaya. Mereka menakluk, menghantar kuasa, menghantar budaya termasuk alat muzik dan mungkin juga bahasa (lihatkah berapa besar pengaruh Bahasa Belanda dalam Bahasa Indonesia). Kerabat Istana zaman dahulu ditandai dengan alat-alat kebesaran, jadi mereka perpindah membawa alat kebesaran yang termasuk didalamnya alatan muzik dan sebagainya.


Selain itu banyak budaya dibawa oleh datuk moyang kami yang berhijrah dari pulau-pulau dinusantara ke semenanjung ini lebih 100 taun dulu, membuka penempatan-penempatan baru dan membina stuktur masyarakat yang unik. Ada orang Jawa, Bugis, Banjar dan Minang bercampur dengan masyarakat Melayu semenanjung tapi kami jarang melihat pada perbezaan, kami selalu lihat pada persamaan. Keturunan itu semua terasimilasi kedalam masyarakat Melayu. Jika kamu menyusur kampung-kampung di Johor kamu akan jumpa nama yang tak asing bagi kamu, Kampung Parit Jawa, Kampung Parit Bugis. Itu saja sudah menunjukkan bagaimana mereka tak dapat berpisah dengan budaya asal mereka. Itu belum lagi mana-mana kampung yang diberi sempena nama pembukanya seperti Kampung Parit Madirono, Kampung Parit Sonto, Kampung Parit Haji Kaspan. Hahaha.. nama apa itu kalau bukan nama Jawa? Kalau kamu mahu claim kami meniru, claim lah pada arwah datuk moyang kami, yang entah2, dari keturunan datuk moyang kamu juga. Ya.. siapa tahu, kita mungkin saja bersaudara.


Hmm.. bila berbicara tentang ini, ada pula yang kata Semenanjung Tanah Melayu sepatutnya milik Indonesia, kerana dimajukan oleh orang yang asalnya dari Indonesia. Nanti! jangan terlalu gopoh kawan..


Ketika datuk moyang kami berhijrah kesini, Indonesia belum lagi wujud. Yang ada hanyalah Nusantara. Tak ada sempadan negeri, tak ada Kastam dan Imigressen. Masyarakat yang berasal dari Indonesia banyak terdapat di sebelah Johor dan Selangor. Negeri Sembilan pula terkenal dengan masyarakat Minang yang masih mempraktikkan adat Pepatih. Datuk nenek moyang kami yang mungkin dari keturunan datuk nenek moyang kamu bila berhijrah ke sini, telah menjadikan negeri ini tanah air mereka. Mereka mengembang keluarga dan keturunan di sini. Malah keturunan yang lahir itu kemudiannya juga telah berjuang untuk kemerdekaan negeri ini. Jadi kalau kamu jumpa orang-orang Malaysia yang berketurunan Jawa atau Bugis atau Banjar misalnya, sepicing pon mereka tidak ragu-ragu Malaysia adalah tanah air mereka, bumi tempat mereka lahir dan membesar, menuntut ilmu, meraih rezeki dan berkeluarga. Namun seperti saya, saya tidak menolak asal keturunan saya dari Tanah Jawa. Perkahwinan campur anatara entik bukan lagi perkara pelik, jadi jangan kecewa jika mereka jadi Jawa tak Jawa, Bugis tak Bugis, Minang tak Minang. Semua campur-campur jadi Melayu.

Okey, di atas tadi saya sudah ceritakan 2 cara budaya berkembang dan menular ke tempat lain iaitu (1) Penaklukan, (2) Penghijrahan. Ada satu lagi iaitu (3) Penyebaran Agama. Penyebaran agama dan penaklukan saling berkait. Pedagang-pedagang dari Jazirah Arab membawa Syiar Islam ke Nusantara. Di Johor, Tarian Zapin mempunyai pengaruh kuat muzik Yaman. Kerajaan awal seperti Majapahit dan Srivijaya terpegaruh kuat dengan agama Hindu dan Buddha. Sebab itu terdapat kemiripan tarian dari Bali dengan kostume Tarian Mak Yong. Wayang kulit juga memaparkan cerita yang sama. Kisah Cinta Rama dan Sita serta Hanuman. Jangan sangka Rama, Sita dan Hanuman itu Balinese. Epik Rama dan Sita datang dari pengaruh Hindu yang berakar dari India. Nah! Kamu juga meminjamkan? Jepun adalah bangsa paling giat meminjam. Kalau bukan kerana itu, kita tak dapat memandu Honda atau Toyota sekarang. Walaupon kami selalu memaparkan tarian singa sebagai tarikan pelancongan, negara China tak pernah pula bising-bising. Dalam pada dituduh pencuri, kami juga kecurian. Lambakan pekerja dari Indonesia, halal dan haram, mencuri peluang pekerjaan rakyat Malaysia. Mereka rela bekerja sepanjang minggu dengan upah yang rendah. Al maklum, mereka jauh dari keluarga, tidak perlu cuti untuk menguruskan anak-anak dan sebagainya. Tapi perlu juga saya akui, mungkin terdapat kelemahan pada sistem penguatkuasaan kami. Pemerintah kami juga kepenatan, setiap hari, tangkap, hantar pulang (semua itu perlu biaya kan?) tak lama kemudian mereka datang lagi. Alangkah


Indonesia adalah negara yang besar, penduduknya ramai. Malah mempunyai populasi Muslim terbesar didunia. Malaysia dan Indonesia sangat dekat dan sangat mirip. Kebersamaanlah yang lebih utama kita tonjolkan, bukan berebut tentang rendang, ikan, kain dan lain-lain. Kalau hal remeh begini pon kita mahu bergaduh, bagaimana hendak mencapai kemajuan setaraf barat?


Satu hal yang lucu, walaupun isu Indonesia mengganyang Malaysia begitu top di sana, tetapi di sini sunyi sepi saja. Ramai orang tidak peduli malah tidak mengetahui. Telivisyen pon tak pernah bisingkan hal ini. Kalau rakyat Malaysia juga emosi, tentu beribu-ribu pekerja dari Indonesia tak aman mahu cari rezeki. Emosi sesetengah kamu memang keterlaluan, sampaikan bantuan yang datang dari kami pun kamu persoalkan keikhlasannya. Kami tetap simpati pada kamu saudara serumpun yang selalu menghadapi bencana. Kenapa harus persoalkan keikhlasan kami? Pertimbangkanlah keikhlasan kamu menerima pemberian kami dan kesyukuran pada pertolongan Allah. Bantuan itu bukan dari kami, tapi dari Allah. Allah memberi kami rezeki lebih, menggerakkan hati kami supaya simpati dan memberi kami kekuatan untuk berziarah ke tempat kamu. Itulah hikmahnya Allah jadikan kita saudara serumpun, kami lebih mudah mengasihi, kami lebih mudah memahami.


Dan lebih lucu lagi, entah dari mana datangnya angin, ada kerisauan di Indonesia yang Malaysia mahu menyerang. Mereka khuatirkan sanak saudara mereka yang ramai disini. Seperti yang saya katakan tadi, kebanyakan rakyat Malaysia tak mengambil peduli hal ini. Tak akan ada serang menyerang kecuali oleh beberapa budak tak matang di forum-forum. Dan tak mungkin lah kami benarkan pemerintah kami menghabiskan duit cukai kami untuk menyerang Indonesia cuma kerana isu ini. Dalam pada itu forumers Indonesia ketawa hingga keluar air mata kerana khabar angin 'Negara liliput(kecil) seperti Malaysia akan menyerang'. Aduhai, kawan... sila belajar dari Sejarah. Belanda yang menakluk kamu dulu, berapa besarkan negara kincir angin itu?


Saya menulis ini bukan kerana benci, saya lebih suka meraikan kesamaan. Saya melancong ke Indonesia, mendengar Opick, membaca karya Habiburrahman dan sangat mengagumi Andrea Hirata. Saya juga menonton Laskar Pelangi - lebih 5 kali - malah masih rasa terharu. Malah saya tuliskan review yang panjang dan hebat untuk buku dah filemnya di blog ini. Ya, saya bantu mempromosikan negara kamu. Tak perlu ucapan terima kasih. Siaran TV RCTI dan SCTV sampai ke ruang tamu saya. TV Malaysia pun banyak mengimport sinetron dari Indonesia. Saya punya jiran berbangsa Cina yang mempunyai pembantu Indonesia. Sayalah saudaranya di sini, tak perlu saya beritahu kamu berapa banyak bantuan saya hulur hanya kerana kami beriman pada Tuhan yang sama. Saya tak kisah bergaul dengannya. Saya tak peduli dia pembantu atau dia orang Indonesia. Berkembaralah sahabat, jelajahi bumi Allah yang luas ini. Pelajari dan hargai kepelbagaian dan kesamaan yang Allah kurniakan. Kalau kau tak mampu berkembara, banyak-banyaklah membaca!


Aku Saya Ana Wo I

N3 Lepas-lepas

Jalan Pintas


Komen Terbaru

Peminat Aku

Yok ngeteh yok!!

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Bekas tapak kaki