Blog Widget by LinkWithin
Menjawab Indonesian

Salam Ramadhan buat rakan-rakan dan pembaca, sama ada di Malaysia atau Indonesia

Ketika berkembara ke Bali Jun lepas, kami ditanyakan beberapa kali orang tempatan tentang isu Putra Kelantan dan Manohara. Saya tak tahu mahu menjawab apa. Pertama kerana saya tidak mengikuti isu tersebut. Bagi saya gossip-gossip rumahtangga V.I.P tak lebih dari gossip artis. Itu bukan berita yang saya cari di suratkhabar(koran), apatah lagi untuk saya ikuti perbincangannya diforum. Pendek cerita saya tidak berminat. Cerita-cerita begini kalau kita cerita panjang sehari semalam kita pon tak akan dapat penyelesaiannya. Yang bertambah cumalah tanggapan-tanggapan yang belum pasti lalu bercambah menjadi fitnah. Astagfirullah. Kedua kerana saya tidak selesa untuk mengulas persoalan sensitif ini, saya sedar saya sedang bertamu ditempat orang. Ada adab yang perlu dijaga.


Sebenarnya, apa yang sedang berlaku di Indonesia sekarang (demo dan kebencian terhadap Malaysia), saya juga tidak begitu mengambil kisah. Saya terjumpa banyak forum dan blog Indonesian yang membincangkan tentang hal ini (ketika membuat sedikit research sebelum bercuti), tak satupon yang saya ambil kisah. Baik forumer dari Indonesia yang melontarkan tuduhan entah apa-apa terhadap Malaysia. Atau forumer dari Malaysia yang gagal menangani secara berhikmah dan beradap, kedua-duanya memualkan. Seperti kanak-kanak berebut ais-krim di tengah panas, sedangkan ais krim sedang mencair dan mengotorkan tangan mereka. Akhirnya, kedua-dua pihak hanya mendapat kotoran. Kerana bagi saya, cuma orang yang buta sejarah dan tuli budaya yang bergaduh berebut budaya bangsa serumpun. Nanti, jangan marah dulu kawan, sila baca hingga selesai. Walaupun mulanya saya tidak peduli, tetapi satu gambar yang terpapar di FB membuat saya terpanggil unutk menulis di sini. Sebahagian kamu, tahu apa gambar yang menjentik saya.


Saya bukan ahli sejarah atau ahli budaya, saya cuma orang yang berfikir. Kami, di Malaysia sebelum mempelajari Sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang agung, kami belajar dulu tentang sejarah Asia Tenggara. Kami belajar dulu tentang kerajaan-kerajaan awal di Nusantara. Itu termasuklah antaranya kerajaan Srivijaya, Majapahit dan Kerajaan Islam Pasai. Kerana, menurut sejarahnya Sultan Melaka yang pertama iaitu Parameswara adalah asalnya dari darah kerabat Srivijaya. Dan Parameswara yang kemudian memeluk Islam dengan nama Iskandar Shah berkahwin dengan Puteri Pasai. Kedua-dua kerajaan Srivijaya dan Majapahit adalah empayar besar yang meliputi seluruh Semenanjung Tanah Melayu hingga ke segenting
-kra (sekarang Patani), malah Majapahit lebih meluas empayarnya meliputi seluruh Borneo dan Philiphine. Dengan kata lain sahabat, kita pernah senegara. Perlu diingat, Srivijaya atau Majapahit bukanlah pembuka Semenanjung Tanah Melayu. Telah ada penduduk asal disitu sebelum kedatangan mereka. Dari mana asalnya Melayu? [baca sini http://en.wikipedia.org/wiki/Malays_(ethnic_group)]


Keagungan Melaka berakhir dengan kedatangan Portugis pada 1511. Tarikh berdarah bangsa kami. Walaubagaimanapun, lebih seratus tahun kemudian, Melaka direbut British. Selepas Melaka tumbang, pemerintahan beralih ke Johor yang pada masa itu dikenali sebagai Kesultanan Johor-Riau-Lingga atau Empayar Johor. Sumatera dan Jawa pula masih dipegang Belanda. Untuk mengelakkan perbutan dan kerugian, mereka (British dan Belanda) sesuka hati membahagikan kita kepada dua bahagian. Ya sahabat, kita berpisah bukan kerana berbeza ideologi seperti mana berlaku kepada Korea Utara dan Korea Selatan. Kita dipisahkan oleh penjajah yang tak menghormati hak kita sebagai orang asal. Kemana Johor dan kemana Riau?

Lalu bagaimanakah kamu mahu undurkan penularan dan perkongsian budaya yang telah bermula beratus tahun dahulu?


Indonesia dan Malaysia bukanlah jauh sangat. Berperahu saja sudah sampai. Buktinya kira saja berapa ramai PATI (pendatang asing tanpa izin) dari Indonesia mendarat diperairan Malaysia setiap hari. Dari sejarah awal manusia hinggalah sekarang, orang-orang yang berhijrah ke tempat baru cenderung membawa budaya meraka sendiri. Lebih-lebih lagi jika berlaku penghijrahan secara besar-besaran dari sesuatu bangsa. Contohnya bangsa Cina, mereka terkenal dengan penempatan yang dikenali sebagai 'Chinatown'[lihat senarai disini http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_Chinatowns]. Wujud dibanyak negara termasuk sebelah barat dunia. Terjadi kerana penhijrahan yang besar, mereka mendirikan kampung, mempunyai struktur masyarakat dan menjalankan aktiviti seharian bersama-sama. Mereka juga membawa bersama budaya mereka. Pernahkah kau melihat orang Cina menyambut tahun baru dengan pokok krismas? Mereka tentu menyambut dengan Tarian Naga atau Tarian Singa Walaupon mereka sudah bertukar warganegara. Walaubagaimanapun, mereka tersimilasi juga dengan budaya tempat mereka duduk sekarang. Terutamanya budaya berfikir dan juga menguasai pertuturan tempatan. Semakin maju mereka, semakin ramai orang Cina keluar dari Chinatown dan hidup seperti kebanyakan warga asal.


Kamu mungkin tak tahu saya pernah mengambil subjek Gamelan semasa diuniversiti. Ya, kami juga ada gamelan. Di sebelah Utara semenanjung Malaysia, ada muzik yang mirip dipanggil Cak Lempong. Sewaktu kanak-kanak saya pernah menonton persembahan kuda kepang dan barongan ketika keramaian majlis perkahwinan masyarakat Jawa. Sekarang sudah banyak berkurang kerana ia selalu dikaitkan dengan unsur pemujaan dan syirik yang menyalahi Agama Islam. Kalau kamu datang ke sini, kamu akan terperanjat betapa miripnya kita. Kami pandai menghasilkan tempe. Kami makan lontong, lodeh, sambal goreng, urap, semur dan soto juga menggemari pecel. Ya tentulah rasanya berbeza, tapi kemiripan tetap ada. Begitu juga batik, batik Terengganu dan Kelantan misalnya jauh berbeza dengan batik Jawa. Motifnya, warnanya berbeza, hanya nama saja yang sama. Dari mana datangnya semua itu? apa kami sengaja datang ke Indonesia lalu meniru, kalau ia, bagaimana ia boleh menjadi budaya kami? budaya perlu masa panjang untuk meresap dalam masyarakat kawan! Perpindahan budaya itu boleh saja berlaku beratus tahun dulu, seawal zaman gemilangnya Majapahit dan Srivijaya. Mereka menakluk, menghantar kuasa, menghantar budaya termasuk alat muzik dan mungkin juga bahasa (lihatkah berapa besar pengaruh Bahasa Belanda dalam Bahasa Indonesia). Kerabat Istana zaman dahulu ditandai dengan alat-alat kebesaran, jadi mereka perpindah membawa alat kebesaran yang termasuk didalamnya alatan muzik dan sebagainya.


Selain itu banyak budaya dibawa oleh datuk moyang kami yang berhijrah dari pulau-pulau dinusantara ke semenanjung ini lebih 100 taun dulu, membuka penempatan-penempatan baru dan membina stuktur masyarakat yang unik. Ada orang Jawa, Bugis, Banjar dan Minang bercampur dengan masyarakat Melayu semenanjung tapi kami jarang melihat pada perbezaan, kami selalu lihat pada persamaan. Keturunan itu semua terasimilasi kedalam masyarakat Melayu. Jika kamu menyusur kampung-kampung di Johor kamu akan jumpa nama yang tak asing bagi kamu, Kampung Parit Jawa, Kampung Parit Bugis. Itu saja sudah menunjukkan bagaimana mereka tak dapat berpisah dengan budaya asal mereka. Itu belum lagi mana-mana kampung yang diberi sempena nama pembukanya seperti Kampung Parit Madirono, Kampung Parit Sonto, Kampung Parit Haji Kaspan. Hahaha.. nama apa itu kalau bukan nama Jawa? Kalau kamu mahu claim kami meniru, claim lah pada arwah datuk moyang kami, yang entah2, dari keturunan datuk moyang kamu juga. Ya.. siapa tahu, kita mungkin saja bersaudara.


Hmm.. bila berbicara tentang ini, ada pula yang kata Semenanjung Tanah Melayu sepatutnya milik Indonesia, kerana dimajukan oleh orang yang asalnya dari Indonesia. Nanti! jangan terlalu gopoh kawan..


Ketika datuk moyang kami berhijrah kesini, Indonesia belum lagi wujud. Yang ada hanyalah Nusantara. Tak ada sempadan negeri, tak ada Kastam dan Imigressen. Masyarakat yang berasal dari Indonesia banyak terdapat di sebelah Johor dan Selangor. Negeri Sembilan pula terkenal dengan masyarakat Minang yang masih mempraktikkan adat Pepatih. Datuk nenek moyang kami yang mungkin dari keturunan datuk nenek moyang kamu bila berhijrah ke sini, telah menjadikan negeri ini tanah air mereka. Mereka mengembang keluarga dan keturunan di sini. Malah keturunan yang lahir itu kemudiannya juga telah berjuang untuk kemerdekaan negeri ini. Jadi kalau kamu jumpa orang-orang Malaysia yang berketurunan Jawa atau Bugis atau Banjar misalnya, sepicing pon mereka tidak ragu-ragu Malaysia adalah tanah air mereka, bumi tempat mereka lahir dan membesar, menuntut ilmu, meraih rezeki dan berkeluarga. Namun seperti saya, saya tidak menolak asal keturunan saya dari Tanah Jawa. Perkahwinan campur anatara entik bukan lagi perkara pelik, jadi jangan kecewa jika mereka jadi Jawa tak Jawa, Bugis tak Bugis, Minang tak Minang. Semua campur-campur jadi Melayu.

Okey, di atas tadi saya sudah ceritakan 2 cara budaya berkembang dan menular ke tempat lain iaitu (1) Penaklukan, (2) Penghijrahan. Ada satu lagi iaitu (3) Penyebaran Agama. Penyebaran agama dan penaklukan saling berkait. Pedagang-pedagang dari Jazirah Arab membawa Syiar Islam ke Nusantara. Di Johor, Tarian Zapin mempunyai pengaruh kuat muzik Yaman. Kerajaan awal seperti Majapahit dan Srivijaya terpegaruh kuat dengan agama Hindu dan Buddha. Sebab itu terdapat kemiripan tarian dari Bali dengan kostume Tarian Mak Yong. Wayang kulit juga memaparkan cerita yang sama. Kisah Cinta Rama dan Sita serta Hanuman. Jangan sangka Rama, Sita dan Hanuman itu Balinese. Epik Rama dan Sita datang dari pengaruh Hindu yang berakar dari India. Nah! Kamu juga meminjamkan? Jepun adalah bangsa paling giat meminjam. Kalau bukan kerana itu, kita tak dapat memandu Honda atau Toyota sekarang. Walaupon kami selalu memaparkan tarian singa sebagai tarikan pelancongan, negara China tak pernah pula bising-bising. Dalam pada dituduh pencuri, kami juga kecurian. Lambakan pekerja dari Indonesia, halal dan haram, mencuri peluang pekerjaan rakyat Malaysia. Mereka rela bekerja sepanjang minggu dengan upah yang rendah. Al maklum, mereka jauh dari keluarga, tidak perlu cuti untuk menguruskan anak-anak dan sebagainya. Tapi perlu juga saya akui, mungkin terdapat kelemahan pada sistem penguatkuasaan kami. Pemerintah kami juga kepenatan, setiap hari, tangkap, hantar pulang (semua itu perlu biaya kan?) tak lama kemudian mereka datang lagi. Alangkah


Indonesia adalah negara yang besar, penduduknya ramai. Malah mempunyai populasi Muslim terbesar didunia. Malaysia dan Indonesia sangat dekat dan sangat mirip. Kebersamaanlah yang lebih utama kita tonjolkan, bukan berebut tentang rendang, ikan, kain dan lain-lain. Kalau hal remeh begini pon kita mahu bergaduh, bagaimana hendak mencapai kemajuan setaraf barat?


Satu hal yang lucu, walaupun isu Indonesia mengganyang Malaysia begitu top di sana, tetapi di sini sunyi sepi saja. Ramai orang tidak peduli malah tidak mengetahui. Telivisyen pon tak pernah bisingkan hal ini. Kalau rakyat Malaysia juga emosi, tentu beribu-ribu pekerja dari Indonesia tak aman mahu cari rezeki. Emosi sesetengah kamu memang keterlaluan, sampaikan bantuan yang datang dari kami pun kamu persoalkan keikhlasannya. Kami tetap simpati pada kamu saudara serumpun yang selalu menghadapi bencana. Kenapa harus persoalkan keikhlasan kami? Pertimbangkanlah keikhlasan kamu menerima pemberian kami dan kesyukuran pada pertolongan Allah. Bantuan itu bukan dari kami, tapi dari Allah. Allah memberi kami rezeki lebih, menggerakkan hati kami supaya simpati dan memberi kami kekuatan untuk berziarah ke tempat kamu. Itulah hikmahnya Allah jadikan kita saudara serumpun, kami lebih mudah mengasihi, kami lebih mudah memahami.


Dan lebih lucu lagi, entah dari mana datangnya angin, ada kerisauan di Indonesia yang Malaysia mahu menyerang. Mereka khuatirkan sanak saudara mereka yang ramai disini. Seperti yang saya katakan tadi, kebanyakan rakyat Malaysia tak mengambil peduli hal ini. Tak akan ada serang menyerang kecuali oleh beberapa budak tak matang di forum-forum. Dan tak mungkin lah kami benarkan pemerintah kami menghabiskan duit cukai kami untuk menyerang Indonesia cuma kerana isu ini. Dalam pada itu forumers Indonesia ketawa hingga keluar air mata kerana khabar angin 'Negara liliput(kecil) seperti Malaysia akan menyerang'. Aduhai, kawan... sila belajar dari Sejarah. Belanda yang menakluk kamu dulu, berapa besarkan negara kincir angin itu?


Saya menulis ini bukan kerana benci, saya lebih suka meraikan kesamaan. Saya melancong ke Indonesia, mendengar Opick, membaca karya Habiburrahman dan sangat mengagumi Andrea Hirata. Saya juga menonton Laskar Pelangi - lebih 5 kali - malah masih rasa terharu. Malah saya tuliskan review yang panjang dan hebat untuk buku dah filemnya di blog ini. Ya, saya bantu mempromosikan negara kamu. Tak perlu ucapan terima kasih. Siaran TV RCTI dan SCTV sampai ke ruang tamu saya. TV Malaysia pun banyak mengimport sinetron dari Indonesia. Saya punya jiran berbangsa Cina yang mempunyai pembantu Indonesia. Sayalah saudaranya di sini, tak perlu saya beritahu kamu berapa banyak bantuan saya hulur hanya kerana kami beriman pada Tuhan yang sama. Saya tak kisah bergaul dengannya. Saya tak peduli dia pembantu atau dia orang Indonesia. Berkembaralah sahabat, jelajahi bumi Allah yang luas ini. Pelajari dan hargai kepelbagaian dan kesamaan yang Allah kurniakan. Kalau kau tak mampu berkembara, banyak-banyaklah membaca!

 

11 corat coret:

yantie said...

Lhoooooo...byk ke forum diskus hal remeh ni??...baru ku tau...aku tau kes ni melarat bila menteri jelaskan isu Discovery Channel, tu pun belum cari detail cerita..

Bila hari ni dlm suratkhabar ada sebut pasal ada gerakan nak sweeping rakyat malaysia di jakarta, baru le aku cari detail kes ni...rupe2nya remeh sgt...

Bak kata ko awa, kat sini tak ambil peduli pun..jom kita majukan rumpun kita..

sitinurulhawa said...

itu la, kalau ko tgk kat youtube, rancangan berita ke apa tah, bincangkan pasal batik, pasal rendang, pasal ikan.

ada bnyk hal dalam negara yg diaorg boleh perjuangkan, kemiskinan, tahap pendidikan dan peluang kerja misalnya. hal tak de manfaat ni yg nak heboh sangat. mentaliti negara dunia ke3 kot. kalau malaysia layan provoke ni, sama je la kita dengan dia.

betulla faisal cakap, buat baik berpada2

Haikaliium said...

tahniah awa, post mantap & sarat dgn isi. tak sangka diorg nk bertindak smpai mcm tu sekali...jgn smpai kita pulak buat pd indon kt sini, mau perang jdnye...leader kena main peranan la...

sitinurulhawa said...

terima kasih che din. semoga tak terjadi perang saudara antara kita ni. tak ada sesiapa yang untung

nonie said...

bagus awa.... penulisan yang penuh berisi... kalaulah lebih ramai di antara mereka masuk blog ni & lebih memahami situasi ni... tapi ntahla, rasanya ramai gak di antara mereka buta mata & buta hati utk cuba memahami... @ ada yang kata sengaja dibutakan mata & hati oleh pihak2 tertentu yg seronok tgk kita serumpun ni bertelagah... bulan2 posa ni kita doakan yang baik2 jelah...

Anonymous said...

1511 portugis serang melaka, bukan belanda..hehe

sitinurulhawa said...

alamak.. hehe.. dah betulkan dah. terima kasih :)

Anonymous said...

saya tertarik dengan entry menjawab indonesian dan terus cuba untuk meniru gaya penulisan awa, boleh kan? hehe

sitinurulhawa said...

alamak.. segannya, saya bukan sapa2. kalau ada kebaikannya tirulah. mudah2an bermanfaat

Anonymous said...

Saya bukanlan seorang yang rajin membaca blog persendirian yang berjela-jela panjangnya.

Namun, artikel yang saudari tulis ini antara yang ringkas, padat dan berisi. Saya membaca tiap tingkah ayat saudari dengan penuh khusyu'.

Saudari berjaya menerangkan dari pandangan saudari mengenai apa yang berlaku antara Ind-My (yang saya sendiri bersetuju dengan saudari yang saya memang tak kisah / tak mengetahuai pun..) dan saya berharap kedua-dua blogger, forumer kedua-dua negara baca dan menginsafi diri..

selamat

http://i-nan.blogspot.com

sitinurulhawa said...

salam i-nan,

Terima kasih, saya pon selalu cuba sebolehnya elakkan menulis panjang berjela begini. btw, ini memang blog perbadi, tetapi saya jarang ceritakan hal peribadi kecuali pengalaman peribadi atau pandangan peribadi. Insyaallah semoga semuanya bermanfaat :)


Aku Saya Ana Wo I

N3 Lepas-lepas

Jalan Pintas


Komen Terbaru

Peminat Aku

Yok ngeteh yok!!

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Bekas tapak kaki