Blog Widget by LinkWithin
Tersurat dan tersirat dalam Laskar Pelangi

Pada kulit buku ini tercetak 'INDONESIA'S MOST POWERFUL BOOK'. Jadi aku cuba cari dan kongsikan di sini KUASA yang terkandung dalam buku ini.

SINOPSIS RINGKAS

Beberapa puluh tahun lampau, di Pulau Belitung, Indonesia, 10 orang sahabat mendapat gelaran LASKAR PELANGI dari guru mereka - Ibu Muslimah. Laskar bermaksud tentera atau pejuang. Pelangi pula kerana kebiasaan mereka duduk bertenggek di dahan pohon filicium tua di hadapan kelas setiap kali selepas hujan - untuk menikmati warna-warna pelangi. Ikal, Lintang, Mahar, Kucai, Borek, Shahdan, Trapani, A Kiong, Sahara, Harun dan Flo. Berada dalam kelas yang sama dengan guru yang sama selama 9 tahun - kecuali Flo yang menyertai mereka lewat. Di Sekolah Muhammadiyah inilah bermula semua cerita persahabatan mereka. Buku ini memaparkan suka-duka mereka. Pengalaman-pengalaman masa kecil yang menumbuhkan mereka menjadi manusia. Ceritanya biasa, anak miskin berusaha keras untuk kelangsungan hidup demi mempertahankan hak mereka untuk mendapat pendidikan. Lalu, apa yang menjadi kekuatan novel ini?


PENULISAN DAN GAYA CERITA

Novel ini tidak ada jalan cerita. Bab-bab dalam Laskar Pelangi tidak ditulis mengikut kronologi, tidak ada plot, tidak ada konflik utama dan kemuncak konflik. Ia ditulis berdasarkan subjek, tentang sesuatu entiti atau peristiwa. Peristiwa-peristiwa itu tiak pula disusun mengikut jalur masa. Satu bab menceritakan hari pertama mereka mendaftar sekolah. Satu bab menceritakan watak-watak para Laskar Pelangi - kecuali Lintang dan Mahar yang lebih istimewa dalam bab masing-masing. Satu bab berkisah tentang bunda guru. Satu bab tentang sekolah. Malah satu bab tentang pohon falicium tua yang meneduhi kelas mereka. Satu bab tentang kegirangan musim hujan. Satu bab masing-masing tentang peristia karnival 17 Ogos dan Lumba Cerdas Cermat. Tak lupa bab-bab yang menceritakan cinta pertama Ikal, A Ling.

Andrea Hirata bijak menggunakan metafora. Contohnya dia memetaforakan gedung PN Timah sebagai Taman Tergantung Babilon iaitu - sangat ekslusif dan hanya orang-orang tertentu saja yang layak memasukinya. Dan timah di bumi Belitong dimetaforakan sebagai Tower of Babel - iaitu tangga menuju syurga kerana sepatutnya rezeki yang Allah limpahkan kepada bumi itu seharusnya dapat memberikan mereka kemakmuran. Lebih menarik metafora langit ketujuh sebagai tempat kebodohan bersemayam. Kisah bagaimana Lintang mendapat anugerah genius juga tak kurang hebat - Lintang dibayangkan dikunjungi oleh para genius zaman lampau, di apit oleh Copernicus dan Lucretius, lalu Tuhan menyemaikan biji zarah kecerdasan yang jatuh dari langit dan menghentam kening Lintang. Lintang melihat keindahan ilmu dalam buku seperti kunang-kunang dalam malam gelita.

Ketika menceritakan tentang pohon felicium tua dan segala hidupan yang bergantung denggannya. Andrea menggunakan nama-nama saintifik bagi makhluk-makhluk tersebut - burung, kumbang dan rerama. Susah hendak disebut tetapi berjaya membuat ceritanya segar. Bagaimana semuanya berhubung dalam rantai makanan yang teratur. Dan bagaimana 10 homo sapiens kecil (para Laskar Pelangi) selalu menjadi pengganggu.

Dalam Laskar Pelangi ada dua senarai yang selalu mencuit hati iaitu pelajaran-pelajaran moral dan 44 penyakit gila. Dua senarai ini berlanjutan hingga Mariamah Karpov. Inilah hal-hal kecil yang mensinambungkan keempat-empat buku.

4 Bab terakhir ialah kisah mereka 12 tahun kemudian. Ikal atau Andrea, akhirnya nanti belajar ke Perancis - ini diceritakan lanjut pada buku-buku seterusnya. 'Aku' dalam bab terakhir bukan lagi Ikal, tetapi Shahdan kerana waktu itu Ikal sudah pun terbang ke Perancis.


KEKUATAN DALAM LASKAR PELANGI

Andrea menulis novel ini, bukan dengan niat untuk diterbitkan. Inilah anggannya sejak kecil. Tercetus kerana satu peristiwa semasa SD3. Hari itu hujan lebat dan ibu Muslimah tidak sampai-sampai ke sekolah. 10 anak kecil itu ketakutan di dalam kelas yang bocor dan uzur. Sekolah itu, menurut Ikal, tak ubah seperti gedung kopra (kelapa kering) dan malamnya digunakan untuk meneduh binatang ternak. Ibu Muslimah - guru yang cuma mendapat gaji 15kilo beras itu, akhirnya tiba juga dengan bersusah payah meredah hujan dan berpayungkan daun pisang. Andrea melihat bu Mus sebagai - perempuan perkasa, diam-diam dia berazam untuk menulis tentang gurunya bila dia dewasa. Kenapa menulis? Kerana waktu itu, buku ialah sesuatu yang mewah bagi mereka. Lagipula memang cita-cita asalnya untuk jadi penulis. Takdir Allah, dia lulus sebagai sarjana ekonomi. Pun begitu, terlunas juga anggannya. Ketika Andrea mula menulis, ibu Muslimah sedang sakit. Lalu, Andrea menulis tanpa henti selama 3 minggu dan tanpa disangka olehnya dia telah menuliskan 600 halaman. Dan akhirnya dihadiahkan seada-adanya untuk gurunya tercinta, Ibu Muslimah dan rakan-rakan zaman kecilnya, para ahli Laskar Pelangi.

Menurut GDE Prama; seorang penulis Indonesia dalam rancangan Kick Andy, kekuatan utama buku ini adalah 'Cinta seorang murid pada ibu gurunya'. Ya itu memang benar dan jelas sekali. Ibu Muslimah diangkat setinggi-setingginya. Dan ini berlanjutan kepada buku-buku seterusnya dalam tetralogi Laskar Pelangi. Kita dapat melihat bagaimana pesan-pesan dan ajaran ibu Muslimah menjadi pedoman Ikal sehingga dia dewasa. Adrea sentiasa menyanjung Ibu Muslimah, Pak Harfan (kepala sekolah) dan SD Muhammadiyah itu sendiri. Dinyatakan dalan novel ini; lebih kurang -

'Ada satu keindahan di sekolah agama yang bobrok ini, tetapi aku enggan menukarnya dengan kemewahan mana-mana sekolah sekalipun'.

'Di titik dan tempat ini, aku merasa bangga menjadi Melayu Belitung dan pernah belajar di SD Muhammadiyah'

Laskar Pelangi adalah FENOMENA dalam industri buku Indonesia selepas Ayat-ayat Cinta. Walaupun Andrea berkelulusan Sarjana Ekonomi, tak pernah belajar sastera dan bukan pembaca sastera, Laskar Pelangi tak pula jadi novel pop. Laskar Pelangi penuh dengan kritik sosial. Andrea memaparkan sosio-ekomoni Pulau Belitung yang kaya dengan timah. Namun, kekayaannya hanya tertumpu pada satu kawasan - GEDUNG; kompleks penempatan orang staf PN Timah. Andrea menceritakan dengan terperinci suasana ala aparteid antara golongan atasan PN Timah yang digelar orang staf dan masyarakat kebanyakan Belitung. PN (perusahaan negara) Timah yang mewarisi perusahaan perlombongan dari penjajah Belanda tidak membebaskan masyarakat Belitung dari pilih kasih dalam penjajahan malah mereka menjadi semacam penajajah baru. Gedung mempunyai semua kemudahan dari rumah besar bergaya victoria, sekolah lenagkap, hospital, pawagam hinggalah padang golf. Hanya orang staf PN Timah saja mempunyai kelayakan tersebut, di mana-mana akses untuk masuk ke kawasan gedung tertulis 'DILARANG MASUK BAGI YANG TIDAK MEMILIKI HAK'. Malahan mereka mempunyai Polsus (Polis Khusus) Timah.

Manakala rakyat belitung yang kebanyakannya menjadi kuli bawahan PN Timah, menduduki rumah-rumah kampung, hidup miskin dan beranak ramai. Anak-anak yang mencapai umur sekolah malahan terpaksa bekerja untuk membantu menyara keluarga. Rakan-rakan Ikal sendiri, Mahar, Shahdan, Kucai dan Lintang diceritakan bekerja sejak SD - lepas pulang dari sekolah.

Ketika menceritakan kisah membeli kapur di Manggar, Andrea dengan bersahaja melukiskan Manggar dalam kepala pembaca. Pasar ikannya, deretan kedainya. Malah kebusukannya pun terbau lantaran keterperincian yang dia tampilkan. Sekaligus, aktiviti ekonomi, struktur, sifat-sifat dan nilai-nilai dalam masyarakat Melayu, Tiong Hwa dan Sawang dikupas.


FILEM LASKAR PELANGI

Secara umumnya filem Laskar Pelangi berjaya memaparkan isi hati cerita asal buku ini. Walaupun tidak semua ditampilkan atau ditampilkan tetapi tidak seperinci seperti dalam bukunya. Produksi filem jelas berusaha kuat untuk memindahkan aura novel pada filem. Dengarnya, Ibu Muslimah sendiri menangis dan enggan memasuki replika SD Muhammadiyah kerana terlalu sama dengan sekolah asalnya. Dan ketika dibawa Andrea menonton filem tersebut, bu Mus tersentuh hati menangis dari awal cerita. [Aku pon sama,masa Harun datang tu aku dah sedih dah hehe]. 12 orang anak-anak belitung yang membintangi filem ini sangat berbakat.


MENGAPA 'INDONESIA'S MOST POWERFUL BOOK'

Selain menularkan motivasi kepada berjuta orang, beberapa kesan besar terhasil dari ledakan buku ini.

1. Nasib Lintang yang genius tetapi tewas pada kemiskinan lalu tidak dapat terus belajar menjentik hati pembaca. Lalu mencetuskan perbincangan dan perdebatan tentang ini. Ramai yang bersetuju masih ada ramai 'Lintang' di Indonesia. Khabarnya kerajaan Indonesia mengkaji semula sistem pendidikan mereka. Cut Mini yang mendokong watak ibu Muslimah dalam filem Laskar Pelangi, kini menjadi Duta Pendidikan Nasional dan sibuk pula berlakon iklan 'Sekolah Gratis' [lihat sini]

2. Ibu Muslimah serta-merta menjadi icon perguruan. Beliau telah dianugerahkan penghargaan Satyalencana Pendidikan dari Presiden Susilo Bambang Yudhoyono [sumber sini]. Dijemput dalam seminar-seminar dan perkumpulan tentang pendidikan.

3. Belitong menerima pertambahan pelancong. Kalau dulu aktiviti pelancong banyak tertumpu di Tanjung Pandan, pantainya dan pulau-pulau kecil sekitarnya. Kini, agensi pelancongan menyediakan pakej - Laskar Pelangi - mereka turut melawat kampung Andrea di Desa Gantong - kalau beruntung dapat bertemu ibu bapa Ikal, Ibu Muslimah dan anggota Laskar Pelangi. Satu yang mesti dilawat ialah 'Sekolah SD Muhammadiyah' yang digunakan untuk pengambaran filem. Malahan mereka juga melawat Manggar, tempat Ikal menemui cinta pertamanya - toko Sinar Harapan yang busuk, melihat-lihat pasar ikan dan pelabuhan Manggar.


AKHIRAN

Bu Mus, Pak Harfan dan SD Muhammadiyah sangat mengesankan hidup para Laskar Pelangi. Meski mereka kini telah berjaya menentang kemiskinan, tetapi tak menjadikan mereka manusia sombong. Kucai yang kini ahli politik berkata beliau tidak pernah menganggap dirinya berjaya, malah beliau juga percaya Andrea sendiri berfikiran begitu - kerana cita-cita mereka ialah melepaskan masyarakat Belitung keseluruhannya dari kemunduran fikiran. Andrea berkali-kali menyatakan - kalau bukan kerana Harun, murid down sindrom yang mencukupi 10 orang murid sebagai syarat minima dari pejabat pendidikan, maka tidak wujudlah Laskar Pelangi. Bagaimana Allah mengirimkan anak istimewa yang sebenarnya tidak dapat mencerna pelajaran sebagai rahmat besar bagi para Laskar Pelangi. Mungkin sebab itu, mereka tidak pernah merasa kejayaan mereka ahalah hak mutlak mereka sendiri. Itulah ajaran unggul bu Mus, iaitu rendah hati.

Esok aku akan tampilkan Sang Pemimpi pula ;)

 

4 corat coret:

Bb Hussain said...

awa.aku pun suka benar cerita ni..dah 3 kaliaku tengok..aku dapat dvd dr student indonesia aku..emm benar2 menyentuh perasaan.. lagi la kau baca buku dia yang menceritakan segala2nya..waa..kau benar2 buat aku teringin nak baca buku ni..

sitinurulhawa said...

aku cemburu andrea. bagusnya kalau dapat membalas budi guru kita macam yang dia buat ni.

bb, bila baca buku ni, ada bnyk hal dalam filem tu yang terjawab. contohnya pasal Bodengga, yang selamatkan lintang dari buaya. Ada 1 bab tentang Bodengga dalam buku ni. Kisah Flo yang hilang dalam hutan pon ceritanya panjang dalam novel.

budak2 tu memang sesuai bawak watak tu, pandai producer dgn pengarah pilih. mmg cocok lah ;p

sitinurulhawa said...

tertinggal - bekas GEDUNG masih ada di Belitung dan turut menarik minat pelancong.

Anonymous said...

Sungguh karya-karya yang indah menginspirasi. Aku tidak jemu-jemu mengulang-ulang baca semua novel Bang Andrea.


Aku Saya Ana Wo I

N3 Lepas-lepas

Jalan Pintas


Komen Terbaru

Peminat Aku

Yok ngeteh yok!!

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Bekas tapak kaki