Jangan jadi macam aku - aku telah terpedaya dengan tajuknya. Membaca tajuknya aku membayangkan cerita seperti Isabella (maaf, aku pernah kongsikan buku Isabella belum lagi bercerita tentangnya). Tetapi sinopsis yang buku ini memberitahu cerita ini berlatarkan masyarakat minangkabau sekitar tahun 1800-1830. Dan gambarnya ialah gambar lelaki berserban. Bila sebut Paderi kita terbayang lelaki berbaju labuh berwarna gelap, memegang senaskah Bible dan tasbih biji besar. Ia langsung merujuk kepada paderi Kristian. Namun, ada nota penerbit diletakkan di halaman awal buku ini
Lama selepas membaca - lebih tepat ketika menulis ini, baru aku perasan yang refleksi putih lelaki menaiki kuda dengan pedang ditangan menyerupai rupa menumen Imam Bonjol yang terletak dihadapan MONAS (monumen nasional) Jakatra, Indonesia. Bezanya monumen Imam Bonjol tak menghunus pedang. Jadi apa kaitan Imam bonjol dengan buku Bidadari Paderi ni?
Penjelasan gambar: Imam Bonjol ialah imej lelaki menaiki kuda, bukan motorsikal atau minah cun
Rupa-rupanya, Imam Bonjol adalah ketua gerakan paderi di Sumatera. Imam Bonjol memang tokoh terbilang di Indonesia. Salah satu jalan utama di Jakarta dan Kute, Bali juga dinamakan sempena namanya (kalau aku baca buku ni sebelum ke sana mesti aku dapat meresap semangat perjuangan Imam Bonjol ketika disitu hehe).
Biasa dengar pergerakan pembaharuan agama? Biasa dengar nama Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab? Biasa dengar gelaran wahabi? Okey, aku bukan kata gerakan Padri ni wahabi - siapalah aku nak melabel - sedangkan aku sendiri tak faham apa maksud wahabi tu. Yang biasa kita dengar 2-3 tahun kebelakangan ni, perkataan wahabi tu sering dikaitkan dengan pembaharuan agama Islam dan juga nama Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Aku sedikit terkejut (maafkanlah orang yang buta sejarah agama seperti aku). Aku terkejut kerana latar buku ini ialan tahun 1800-an, dua ratus tahun dibelakang kita. Tetapi konsep pembaharuan Islam dan nama Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab tu baru 2-3 tahun kebelakangan ini digembar-gembur secara terbuka di sini.
Kisahnya
Tentang Jauhari yang jemu hidup miskin berangan-angan mahu mengubah nasib. Jauhari anak yatim piatu. Ayah dan ibunya mati dibunuh kerana membantu perjuangan gerakan Paderi. Waktu ini telah wujud perpecahan dalam masyarakat tradisional Minangkabau. Golongan adat dan golongan agama.
Dalam buku ini kita dapat melihat masyarakat minang yang kata adat. Ada beberapa kewajaran adat minang yang disinggung oleh penulis secara santai. Walaupun gerakan Paderi sangat kuat, mereka tidak membuang sepenuhnya adat yang mendarah daging dalam masyarakat mereka. Walaubagaimanapun, konflik tak dapat dielakkan. Namun begitu kedua-dua golongan akhirnya bersatu hati menentang Belanda. Di sinilah Jauhari tersepit dan keliru hala tuju hidup yang patut diambilnya.
Kalau nak dikata novel ini ialah kisah cinta pon boleh. Tetapi kisah cintanya tak memualkan. Yang lebih tertonjol ialah kisah perjuangan hidup, agama dan tanah air. Cuma kisah perbicaraan Jauhari saja yang aku rasa tak begitu kemas.
Antara Jauhari dan Minke(Bumi Manusia)
Jauhari membesar ketika Belanda baru menapak di Sumatera. Jauhari terlibat dalam perjuangan menghalang Belanda menakluki tanah Sumatera. Sebagai guru mengaji, Jauhari beragama dan berpegang kuat pada adat resam dan sopan santun selayaknya orang timur. Manakala Minke membesar di masa-masa terakhir Belanda akan meninggalkan Jawa. Minke terdidik dengan pendidikan Belanda. Minke bangga menjadi 'sebahagian' dari Belanda. Minke berjiwa liberal.
Ironinya, Jauhari berjuang bertitis darah menghalang penjajahan di buminya. Tetapi 200 tahun kemudian Minke (kalau boleh diibaratkan sebagai cucu cicitnya) meraikan penjajah di buminya.
Notis: Aku cuba menggunakan BMT (Bahasa Melayu Tinggi) untuk menulis ulasan buku ini.
Sementara menunggu pesanan makanan datang, mak membelek-belek buku yang aku bawa. Berkerut-kerut mak baca, kemudian keluar dari mulut mak, apa yang kau tulis ni?
Hahaha.. mak aku kadang-kala mengelakar secara tak sengaja. Mak pun terpedaya dengan buku ni. Mana tak nya, Bahagian dalam bergaris macam buku tulis, siap bergaris tepi. Font dia pula Valley. Yang rupanya macam tulisan tangan. Tapi tak secantik tulisan aku hehehe.
Buku ini sangat kreatif, dari rekabentuk kulit sampailah keisinya. Kononnya si Mat Despatch ni menggunakan buku laporan sains sebagai diari. Jadi perkataan BUKU LAPORAN SAINS tu digores dengan pensil kemudian dilukiskan gambar seorang lelaki memegang topi keledar dan dituliskan bibawahnya Diari Mat Despatch. Sinopsis buku ini ditulis sebagai Peringatan: Kepada sesiapa yang menjumpai supaya jangan baca dan jangan pulangkan kerana dia malu. Dia minta supaya penjumpa buang atau bakar diari tersebut.
Hahaha... selepas membaca peringatan itu.. hatiku meronta-ronta untuk membaca diari mamat ni...
Okey.. jom kita selak apa ada dalam diari ni ^_^.
Tuan empunya diari ni, sangat khuatir diarinya akan hilang. Jadi semua watak dalam diari ini dia gunakan nama samaran termasuklah namanya sendiri. Bukan main lagi nama samaran yang dia pilih - Adlin Rayyan bin Zahid Hamidi berasal dari kampung Liverpool. Boleh tahan poyo juga mamat ni.
Diari ini ditulis menggunakan BMT. Setelah aku cuba, agak susah juga rupanya mempraktikkan BMT ni. Setiap hari Rayyan (itu nama yang dia suruh panggil) akan mulakan catatannya dengan tips BMT. Semua ini kerana tujuan utama Rayyan menulis diari adalah untuk berlatih menggunakan BMT. Dia akan menduduki peperiksaan untuk jawatan penyunting sambilan. Rayyan sebenarnya mempunyai izajah, tetapi masih mencari kerja yang sesuai dengan jiwanya. Oleh kerana dia suka motor, dia kerja sebagai mat despatch atau dalam BMT disebut penghantar dokumen.
Rayyan sederhana orangnya tetapi sangat peka pada persekitarannya. Dan dia mencatatkan hal-hal kecil yang berlaku - juga kerap berlaku dalam hidup kita. Dia memerhati, menyindir melalui soalan, mengaitkan dengan pengalaman lampaunya dan cuba membuat kesimpulan. Rayyan seorang yang insightful atau dalam BMT bermaksud mendalam pemikirannya.
Rayyan menghargai apa juga yang dia dapat dari orang sekeliling dan selalu melihat mereka dari sisi positif. Boss, rakan serumah yang sudah bertahun-tahun gagal menghabiskan pengajian, rakan serumah yang bekerja sebagai agen MLM, rakan serumah yang misterius, rakan sekerja yang cantik, rakan sekerja lebih senior, pakcik yang dijumpai secara tak sengaja, menantu pakcik yang dijumpai secara tak sengaja, jiran sebelah rumah, anak dara jiran sebelah rumah, tawkey kedai alat pertukangan, pekerja kedai alat pertukangan dan editor syarikat penerbitan.
Rayyan tak memandai-mandai dan jujur dengan diarinya. Patutlah dia akan malu kalau orang lain membacanya. Sepanjang catatannya dia cuba mencari jawapan bagi soalan apa yang lelaki mahu dari perempuan? Lelaki jenis apakah dia? Mengapa kita mesti memperlahankan kenderaan bila ada kemalangan? Kenapa perempuan suka mengusik lelaki pemalu? Rayyan juga secara lembut menyindir. Lelaki mudah perasan yang perempuan suka pada mereka. Ah Seng adalah watak yang obses dengan Singapura. Siswi-siswi kolej yang menakutkan kerana keberanian mereka mengusik lelaki. Fenomena impian jutawan yang melanda masyarakat. Obsesi masyarakat tentang dunia alam ghaib dan banyak lagi. Rayyan memberi beberapa nasihat ringkas beserta cerita sebagai contoh. Contonhya Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar dan benar. Allah menguji hambanya sesuai dengan kemampuannya. Allah akan meringankan beban hambanya yang meringankan beban hambanya yang lain.
Sangat santai buku ini. Untuk menikmatinya, kau juga perlu jadi insightful seperti Rayyan. Kalau tidak apa yang kau dapat cumalah kisah hidup biasa seorang mat despatch.
Diri, maafkan aku kerana mengingkari janji untuk berkongsi satu buku setiap minggu di sini. Dan inilah, sebagai tanda maaf aku kongsikan satu karya besar yang merobek2 banyak hati manusia-manusia yang besar dan kecil. Yang besar bimbang hati kecil menjadi besar lalu menggugat. Yang kecil sesal kerana tak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang yang besar menjadi gergasi. Karya ini telah diterbitkan dalam 33 bahasa.
Minke menjauhkan diri dari kedudukan keluarganya, memilih berdikari membiaya diri kecuali persekolahan elitnya yang dibiaya dari warisan yang mulia sang nenda. Minke mengutuk cara Jawa memyembah penguasa seperti Tuhan, walaupon aku ragu-ragu apakah Minke kenal Tuhannya? Annelies adalah anak dari seorang nyai (perempuan simpanan). Hidup dalam rumah serba mewah tapi tak mengenal siapa-siapa selain yang ada di rumah dan ladang.
Watak yang tak kurang penting untuk diperhati dan dipelajari ialah ibu Annelies. Bagaimana dia menelan kegilaan ayahnya yang tidak dapat dia maafi seumur hidup - menukarkan dia dari seorang pinggit jawa bernama Sanikem kepada seorang nyai, Nyai Ontosoroh kepada Tuan Millema. Memilih untuk tidak terus-terusan menangisi nasibnya, Sanikem menukar tragedi kepada peluang. Selain menjadi nyai, dia menjadi murid, pengurus perusahaan Millema seterusnya rakan kongsi. Pon, apa yang mengharukan aku walau dalam keadaan paling sadis, Sanikem gagal mencari Tuhannya kembali. Malah dia lupa terus. Nyai Ontosoroh tidak mahu Annelies menjadi dia - dia terus hidup untuk satu impian - melihat puterinya menjadi isteri dalam rumahtangga yang sah - sebagai menebus nasibnya. Ironinya - di mana nilai menjadi isteri yang sah jika perhubungan tidak sah bermula sebelum nikah?
Pun, aku tak hairan mereka melihat Minke lebih tinggi dari peribumi lain yang mereka kenal. Selain kecemerlangan Minke disekolah, Minke mirip dengan mereka dari segi nilai. Ini jelas dalam keterbukaan perhubungan Minke dan Annelies di rumah ladang Millema. Watak Minke masih banyak berkeliaran disekeliling kita hari ini. Mereka-mereka yang menyangka diri masih timur padahal mereka sangat mengiurkan barat. Minke sangat selesa dengan kehadiran eropah di negerinya malah sedikit sebayak Minke telah menjadi eropah walau bermuka jawa tulen. Dan totok seperti Tuan Assisten Residen menyukai Minke kerana itu. Mereka malah tidak senang dengan totok seperti Juffrouw Magda Peters yang liberal dan memandang idea penjajahan dari sudut berbeza. Lebih mereka risaukan, Minke sangat menyanjung Juffrouw Magda Peters, guru kesayangannya.
Bumi manusia ditulis dalam bahasa melayu. Tetapi watak-watak di dalamnya bertutur dalam banyak bahasa, Melayu, Jawa, Madura, Belanda dan Perancis. Aduhh hebat betul orang zaman itu.
Aku punya sedikit kekesalan pada Minke dan kesemua orang dalam cerita ini kerana mereka tidak pernah meminta campur tangan Tuhan menyelesaikan permasalahan (kesal pada pram? entah). Selain itu, membaca buku ini sangat memuaskan - berbaloi walaupun harganya 80ribu. Berbaloi sakit bahu menggotong buku ini (dan buku-buku lainnya) melintasi parking kapal terbang ke dewan terminal LCCT. Malah aku terpaksa membeli beg baru hanya untuk itu.
Boleh.
anda boleh saja berselisih pendapat mengenai apa yang saya paparkan. atau buku yang saya ulaskan. anda berhak mengekspresikan apa saja pendapat, asalkan rational. dan jika anda muslim sila meletakkan rational dengan quran & hadis sebagai sempadan. dan jika saya menganjurkan dan menerangkan pula pendapat saya bukan bermakna saya menyerang anda. dan saya tak akan mengambil sikap peribadi tentang anda. tak akan menghakimi anda.
jika saya tak sependapat dengan anda mengenai sesuatu hal, bukan maksud saya tak setuju semua tentang anda. jika saya rasa perlu mengkoreksikan sesuatu pandangan daripada anda - bukan maksud saya mengkoreksikan pandangan anda apatah lagi peribadi anda.
saya tak akan halau pengomen yang berlainan pendapat dengan saya. saya tak perlu buat orang lain akhirnya setuju dengan saya.
Saya masih sedang belajar mematangkan diri. bantulah saya. bertahan sedikit dengan saya. mudah2an saya dan anda tak termasuk dalam golongan dalam surah al-asr
semua dengan keizinanNya
Melihat pada blogku yang lamaaaaaaa terbiar ni, rasa seperti mahu menangis!
Bukan, bukan sudah benci untuk menulis. Bukan berhenti dari membaca. Tak ada alasan kenapa terhenti. (ada sebenarnya tetapi bersifat peribadi - jangan dihiraukan aku!)
Awa, mahukah kau menulis semula?
Tajuk buku ini ialah Seorang Sultan di Palermo. Ia adalah buku keempat dalam pentalogi novel Islam karangan Tariq Ali. Aku tahu tentang buku pertamanya, Bayang-bayang pohon delima ketika aku membaca Rindu Andalusia. Kedua-dua buku (Rindu Andalusia dan Bayang-bayang pohon delima) berlatar belakangkan Andalusia - pusat kemashuran Islam suatu masa dulu.
Namun, aku gagal menemui Bayang-bayang pohon delima. Tapi buku ini pula yang aku jumpa (barulah aku tahu buku-buku ini adalah pentalogi). Aku pun teruja.
Novel ini berlatar Pulau Sicily di Selatan Italy. Hmm.. aku hampir tak mengetahui tentang kewujudan pulau ini. Apa lagi kewujudan tamadun Islam di sana (956-1072). Subhanallah. Lebih 100 tahun rupanya. Pusat pemerintahannya dipanggil Palermo oleh pedagang Islam. Latar buku ini ialah di ketika Islam tidak lagi memerintah walaupun mereka adalah majoriti. Mereka berajakan seorang Raja Kristian. Buku ini secara tepatnya mengisahkan zaman pemerintahan King Roger (1101-1154)
Raja-raja Kristian (3 keturunan) dalam buku ini di paparkan sebagai Raja yang lembut terhadap orang-orang Islam yang kebanyakannya berketurunan Arab. Bahkan, orang-orang Islam masih memegang beberapa jawatan penting. Sayangnya aku tak sempat lagi mencari kisah lanjut Islam di Pulau yang dikatakan antara tercantik Walaubagaimanapun, mereka dikawal ketat oleh gereja.
Watak utama dalam buku ini ialah Muhammad al-Idrisi atau nama sebenarnya Muhammad al-Idrisi al-Qurtubi al-Hasani al-Sabti (1100-1165). Beliau adalah seorang ilmuan Geografi Islam yang menhasilkan Book of Roger.
Dalam buku ini diceritakan bagaimana orang Islam akhirnya tersepit setelah kematian Raja Roger. Pemberontakan akhirnya menyebabkan orang Islam dihalau dari Palermo.
Inilah satu contoh novel yang di katakan Novel Islami tetapi tidak mengikut adap-adap penulisan Islam. Sungguh, aku kesal sepanjang pembacaanku. Al-Idrisi digambarkan sebagai orang yang genius dan setia pada raja. King Roger - memberi Al-Idrisi sebuah kapal untuk beliau menyiapkan peta pulau Sicily dan kaian buku tentang geografi, botani dan juga ubat-ubatan.
Disebalik itu, dalam buku yang keji ini (aku sangat emoketika menulis ini), Al-Idirisi digambarkan sebagai seorang penzina. Sebab utama beliau setia disisi raja bukan kerana penyelidikannya tetapi kerana kekasihnya Maya, yang menjadi perempuan simpanan raja. Lebih melampau lagi, Al-Idirisi dikatakan mempunyai anak bersama perempuan tersebut. Lebih-lebih melampau lagi, Al-Idirisi diceritakan menjalin pula hubungan dengan adik angkat kekasihnya yang juga Isteri kepada seorang pembesar. Astagfirullah!!! Semua pihak dalam cerita ini mengetahui tentang skandal-skandal tersebut tetapi merelakannya. Idrisi membenci isterinya yang sah dan puteri-puteri dari Isterinya. Dalam masa yang sama dia menikmati hidupnya dengan zina dan anggur (arak).
Aku kira, ini fitnah kepada Al- Idrisi yang tergaris keturunannya dari Hasan bin Ali Karamallahu Wajha. Maka aku cari siapa Tariq Ali. Hmmm.. tak hairanlah.. mak cik wiki kata :
Ali's parents "both came from a very old, crusty, feudal family". His father had broken with the family's conventions in politics when he was a student, adopting communism, nationalism and atheism. Ali's mother also belonged to the same family, and became radicalized upon meeting his father. However, Ali was taught the fundamentals of Islam in order to be able to argue against it.
Mujur, aku tak terbeli buku-buku lain dalam pentalogi ni. Walaubagaimanapun, aku baca buku ni sampai habis. Tapi memetik kata-kata Ustaz Zahazan, berhati-hati dengan buku yang kita baca. Jauhi buku-buku yang berniat serong pada Islam, kecualilah kau tahu bagaimana nak menapisnya.
Sebab aku bosan menonton berita ialah kerana kerap kali berita perdana yang sepatutnya menjadi lambang maruah dunia kewartawanan telah terogol dengan kecenderungan mereka melaporkan berita-berita yang tak adil. Di tambah dengan kenyataan-kenyataan bodoh para pemimpin yang meresahkan. Maaf jika aku terlalu kasar. Ayat-ayat bodoh seolah-olah datang dari orang tak lulus SPM seperti 'Kenaikan harga minyak tak akan membebankan rakyat', 'Kenaikan harga gula tak akan membebankan rakyat', 'Penilaian semula tarif elektrik tak akan membebankan rakyat','Kenaikan tambang penganggkutan awam tak akan membebankan rakyat' dan terbaru 'GST tak akan membebankan rakyat'. Ya, seperti mana mereka yang menyebutnya, aku copy paste saja bahagian 'tak akan membebankan rakyat'.
Mereka suka sangat menyebut 'tak akan membebankan rakyat' seperti dulunya mereka suka menyebut "Perjuangan yang belum selesai" - ketika zaman Che Det. Seperti mereka suka menyebut berulang-ulang "Cemerlang, gemilang, terbilang" - yang dipopularkan oleh Pak Lah. Mereka tanpa malu mengulang suara 'tak akan membebankan rakyat' lalu mereka rasa bangga seperti ketika mereka laungkan 1Malaysia!
Kami tahu sebagai pemimpin anda semua telah banyak berjasa pada negara. Namun, itu bukanlah lesen untuk anda rompak apa-apa saja dari kami. Benar-benarkah anda faham siapa rakyat dan apa maksud beban?
Anda akan faham semua itu, tak lama lagi. Ketika kita semua berada di ambang negeri abadi. Ketika itu kami (rakyat) akan dapat melihat anda. Dan andalah yang waktu itu akan faham benar, apa maksudnya - beban menjadi pemimpin.